ADAM Adli (tengah), bersama antara peserta yang turut dipanggil bagi diambil keterangan di IPD Dang Wangi, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ADAM Adli (tengah), bersama antara peserta yang turut dipanggil bagi diambil keterangan di IPD Dang Wangi, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis sudah merakam keterangan 10 individu termasuk pemimpin parti politik pembangkang berhubung himpunan bantah kenaikan harga barang di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mereka antara 30 individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan.

"Setakat ini, 10 individu sudah selesai dirakam keterangan berhubung penganjuran himpunan itu.

"Esok pula seramai 15 individu lagi dijangka akan hadir bagi diambil keterangan mereka," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, pemimpin parti politik yang dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini, tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 2.40 petang.

Antara pemimpin parti politik yang sudah selesai dirakam keterangan adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman; Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Abbas Salimmi Che Adzmi.

Pada jam 2 petang Sabtu lalu, sekitar 100 individu menyertai himpunan itu di Jalan TAR dan percubaan mereka untuk berarak ke Dataran Merdeka, gagal selepas disekat polis.

Perhimpunan berkenaan dipercayai bagi menyatakan protes terhadap peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini yang disifatkan sebagai menekan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, peserta mengulangi lima tuntutan mereka terhadap kerajaan iaitu menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri, bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat, mengekalkan subsidi serta tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi lain.

Mereka juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan, makanan di kafeteria termasuk vendor di dalam universiti kerana berlaku peningkatan harga mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 6:40 PM