Ahmad Izham Omar (dua kiri), Usamah (tiga kiri), Zurina Othman (kanan sekali) bersama Ida Rahayu Yusoff (tiga kanan), Noorhayati (dua kanan) dan Azman (empat kiri). FOTO STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Ahmad Izham Omar (dua kiri), Usamah (tiga kiri), Zurina Othman (kanan sekali) bersama Ida Rahayu Yusoff (tiga kanan), Noorhayati (dua kanan) dan Azman (empat kiri). FOTO STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Oleh Michelle Gun


Shah Alam : Program baru kanak-kanak Ejen Ali yang akan ditayangkan di TV3 mulai 8 April ini bakal menjadi siri animasi pertama sebagai hak intelek Media Prima Berhad (MPB).

Siri animasi sebanyak 13 episod itu diterbitkan secara usahasama dengan WAU Animation dan akan ditayangkan setiap Jumaat pada jam 5.30 petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Ahmad Izham Omar berkata, siri animasi itu bersifat universal dan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara.

"Beberapa negara sudah menunjuk minat selepas menonton klip video promosi Ejen Ali," katanya.

Ahmad Izham berkata, MPB sudah lama mencari siri animasi berkualiti dan klip video Ejen Ali berjaya menarik perhatian mereka.

“Animasi ini berpotensi membawa nama Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Selain itu, Ejen Ali turut dihasilkan dalam bentuk permainan telefon pintar dan aplikasi itu untuk Android mencatatkan lebih 46,000 muat turun.

Aplikasi permainan itu akan dibuka kepada pengguna iOS tidak lama lagi.

Ejen Ali mengisahkan seorang murid sekolah yang tanpa sengaja terbabit dalam dunia risikan.

Watak lain dalam animasi itu ialah kucing bernama Comot, Ejen Bakar dan rakan-rakan perisik cilik itu.

Hadir sama pada majlis pelancaran program adalah Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation Sdn Bhd, Usamah Zaid, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Zurina Othman (kanan), pemilik suara Ejen Ali, Ida Rahayu Yusoff, Noorhayati Malini Omar dan Azman Zulkiply.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:00 PM