JASAD Mohd Afnan yang ditemukan lemas di kawasan air terjun di Puncak Janing. FOTO ihsan BOMBA
JASAD Mohd Afnan yang ditemukan lemas di kawasan air terjun di Puncak Janing. FOTO ihsan BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Nerang: Seorang remaja lelaki mati lemas ketika mandi di air terjun Puncak Janing di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Apnan Mohd Rais, 17, beralamat di Simpang Makam Diraja Langgar, Alor Setar itu ditemukan lemas pada jam 1.12 petang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.38 tengah hari berhubung menyelamat mangsa lemas.

"Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sahibudin Murad bersama anggota BBP Kuala Nerang yang bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu.

"Komander operasi tiba di lokasi kejadian kemudian melaporkan kawasan berkenaan mengalami masalah liputan GIRN dan telefon," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota BBP Kuala Nerang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan kaedah "griping iron" di kawasan dipercayai mangsa lemas dan menemukan mangsa pada jam 1.12 petang.

Beliau berkata, mangsa dibawa naik menggunakan pengusung dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir ke lokasi dan mengesahkan mangsa meninggal.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Pengunjung air terjun berkenaan supaya berhati-hati terutama ketika cuaca tidak menentu ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 3:36 PM