ANGGOTA bomba dan penyelamat melakukan operasi pencarian secara permukaan bagi mengesan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba dan penyelamat melakukan operasi pencarian secara permukaan bagi mengesan mangsa. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Kudat: Aktiviti riadah mandi-manda keluarga di Pantai Kampung Bangau, di sini, semalam, berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak lemas.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia 3 tahun disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemukan berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.13 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara permukaan di lokasi sekitar pantai berkenaan.

"Mangsa akhirnya ditemukan pasukan SAR bersama penduduk kampung pada jam 4.25 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 6.29 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 11:56 AM