AFP

Manchester, England: Pertahanan veteran Manchester City Martin Demichelis bagaikan diberi peringatan mengenai umurnya oleh Marcus Rashford (gambar) ketika kemenangan 1-0 Manchester United awal pagi semalam, menurut pengurus Louis van Gaal.

Rashford, 18, memperdaya Demichelis yang berusia 35 tahun dalam laluan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 ketika United menyemarakkan semula cabaran memburu empat tangga teratas sekali gus menjejaskan cabaran City memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Demichelis akhirnya digantikan pada awal babak kedua oleh penyerang Wilfried Bony dan Van Gaal, yang melatih pemain kebangsaan Argentina itu di Bayern Munich berkata, pertahanan tengah City itu berdepan tugas getir.

“Rashford amat pantas dan Demichelis dilihat bagaikan dimamah usia,” kata pengendali Belanda itu selepas pasukannya melonjak satu mata di belakang City, yang menghuni tangga keempat dan kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara.

“Dia seorang pertahanan yang amat bagus. Dia pertahanan tengah saya di Bayern, tapi inilah dunia bola sepak.”

Jaringan klinikal Rashford, gol kelimanya dalam lapan perlawanan, menjadikannya penjaring gol termuda bagi pertembungan jiran setempat Manchester pada usia 18 tahun dan 141 hari selain mendapat pujian menggunung daripada pengurusnya.

“Dia seorang penyerang sejati, itulah sebabnya saya meletakkannya di posisi itu,” ujar Van Gaal. “Dia boleh mencipta gol. Saya amat sukakannya.

“Bagaimanapun dia masih berusia 18 tahun. Anda perlu tunggu dan lihat jika dia mampu bertindak konsisten.”

Pengurus City Manuel Pellegrini berkata, Demichelis dikeluarkan kerana dia terlalu ‘gementar’ dan ‘tidak berada pada harinya’, namun menafikan kelibat Rashford terlalu sukar dibendung.

“Saya tidak fikir begitu,” kata pengendali Chile itu, pasukannya kini ketinggalan 15 mata di belakang Leicester City, sekalipun beraksi kurang satu perlawanan.

“Satu kesilapan bagi gol pertama. Saya tidak ingat banyak peluang buat Rashford atau Manchester United.

“Saya fikir mereka hanya ada satu selepas gol itu dan tiada lagi sepanjang perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 7:38 AM