EU  (kiri) bersalam dengan   Kuan   sambil diperhatikan  Ong  (tengah)     pada majlis menandatangani perjanjian di antara I-Berhad dan Setiakon Builders.
EU (kiri) bersalam dengan Kuan sambil diperhatikan Ong (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian di antara I-Berhad dan Setiakon Builders.

Shah Alam: I-Berhad, pemaju utama projek kondominium mewah 8Kia Peng melantik Setiakon Builders Sdn Bhd (Setiakon Builders) sebagai kontraktor utama bagi pembinaan projek itu apabila ia projek pembangunan pertama dilaksanakan di luar i-City, Shah Alam.

Timbalan Pengerusi I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata, pemilihan Setiakon Builders sebagai kontraktor utama 8Kia Peng dilaksanakan berdasarkan proses penganugerahan tender yang telus dan memberi penekanan kepada rekod pencapaian sebelum ini.

“Kami komited dalam menyediakan projek yang memiliki standard dan berkualiti tinggi meskipun kos pembinaan tinggi, kami tetap melaksanakan projek ini secara patuh kepada Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (Conquas),” katanya pada majlis menandatangani perjanjian di antara I-Berhad dan Setiakon Builders, di sini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Pengarah Urusan Setiakon Builders, Datuk Kuan Ah Hock.

Beliau berkata, 8Kia Peng adalah projek terletak di kawasan Kuala Lumpur City Centre terdiri daripada menara 50 tingkat di tanah pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.

“Ia aset jangka panjang terletak di lokasi strategik, sekali gus menawarkan pulangan sewaan lumayan kepada pelabur,” katanya.

8Kia Peng terdiri daripada 442 unit kondominium dengan 315 unit apartmen servis (tingkat 20 hingga 49) manakala 127 unit lagi untuk Pejabat Kecil Rumah Pejabat (SoHo) daripada tingkat 9 hingga 19.

Apa yang menarik, 80 peratus daripada unit kondominium 8Kia Peng menawarkan pemandangan terus ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) membabitkan Menara Berkembar Petronas dan taman rekreasinya.

Setiap unit kondominium ini ditawarkan daripada keluasan bermula 716 hingga 987 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan dilengkapi sepenuhnya perabot serta berada dalam keadaan sedia untuk diduduki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 6:49 AM