FATTAH (tengah) merasmikan model bangunan MyMarket-Malaysia Hypermarket.
FATTAH (tengah) merasmikan model bangunan MyMarket-Malaysia Hypermarket.
Oleh Mohamad Hussin


Konsep MyMarket-Malaysia Hypermarket yang beroperasi sejak Januari lalu diwujudkan bagi membantu usahawan Bumiputera memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai rakan pembangunan hipermarket sebenar pada masa akan datang.

Tidak mustahil suatu hari nanti produk keluaran IKS akan menembusi pasaran hipermarket di bawah satu bumbung dan bersaing dengan pasar raya besar sedia ada.

MyMarket-Malaysia Hypermarket adalah satu model hipermarket berkonsepkan milik bersama usahawan untuk memberi peluang kepada mereka memasarkan produk masing-masing.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, MyMarket berjaya menjadi pemimpin kepada sektor IKS untuk menggergasikan perniagaan dan memimpin pengusaha ke arah perniagaan berimpak tinggi.

Beliau berkata, ia juga dapat menembusi pasaran pemborongan dan peruncitan, seterusnya memartabatkan produk IKS.

“Ia menjadi platform untuk pengeluar IKS memasarkan produk mereka yang agak sukar mendapat tempat di hipermarket sebelum ini.

“Melalui usaha ini, aspek utama pasaran yang menjadi cabaran utama produk IKS sebelum ini dapat diatasi. MyMarket menjadi tempat untuk pengeluar IKS memperkenal, mempromosi dan mengiklankan produk mereka yang agak terhad ke pasaran yang lebih luas.

“Kebanyakan usahawan IKS ada idea dan produk yang baik tetapi kurang pendedahan dari segi pasaran. Ini satu langkah besar bagi mendorong dan membangunkan IKS di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program MyMarket-Malaysia Hypermarket di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi MyMarket Resources Datuk Ramli Simbok dan Setiausaha ANGKASA Datuk Mohd Alis Hamzah.

Abdul Fattah mencadangkan MyMarket turut menjual barangan keperluan asas termasuk barangan basah bagi melengkapkan keperluan isi rumah.

“Selain membantu masyarakat mengurangkan kos sara hidup, program ini dapat menjana permintaan isi rumah dan domestik bagi memacu permintaan serta pertumbuhan negara.

“Secara tidak langsung, kita dapat membantu ma­syarakat berbelanja dalam kuantiti yang banyak dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

“Justeru IKS sangat penting kepada negara kerana ia menjadi penggerak utama dan mempelbagaikan sektor pembuatan, membuka banyak peluang pekerjaan dan menyumbang dalam meningkatkan jumlah simpanan negara,” katanya.

Menurutnya, ANGKASA merancang membeli saham ekuiti beberapa pasar raya terkemuka bagi memudahkan penjualan produk IKS Bumiputera di premis berkenaan.

“Kita sedang berbincang dengan beberapa pemilik pasar raya termasuk AEON Big dan PETRONAS Dagangan Berhad serta tiga syarikat lain dan menjangka usaha itu dapat dimuktamadkan menjelang 2020.

“Apabila direalisasikan, ia mampu melonjakkan keupayaan lebih 5,000 rangkaian koperasi di bawah ANGKASA yang terbabit dalam pengeluaran dan penjualan produk IKS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 6:02 AM