Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kelana Jaya: Pembukaan sempadan memberi sinar kepada usahawan mikro memasarkan produk dengan lebih agresif.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, bagi merancakkan semula ekonomi, usahawan juga diminta menyusun strategi pemasaran bagi menarik minat pembeli antarabangsa.

Menurutnya, pensijilan halal kini antara kriteria yang diberi keutamaan khususnya kepada produk makanan kerana capaian pasaran lebih luas di peringkat global.

"Pembukaan sempadan sejak dua minggu lalu memang beri impak positif kepada usahawan mikro untuk kembali bernafas.

"Mereka kini perlu memastikan produk dapat menembusi pasaran global dengan penambahan kualiti dan pensijilan halal mengikut piawaian antarabangsa.

"Produk halal kini mampu menembusi pasaran banyak negara yang sudah mula menjadi halal antara kriteria utama," katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Sempena Semarak Jubli Emas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) dan Sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

NOH (berdiri kiri) bersama Abdul Fattah (berdiri kanan) beramah mesra dengan anak yatim dari Pusat Jagaan Darul Sakinah Damansara. FOTO Owee Ah Chun.
NOH (berdiri kiri) bersama Abdul Fattah (berdiri kanan) beramah mesra dengan anak yatim dari Pusat Jagaan Darul Sakinah Damansara. FOTO Owee Ah Chun.

Mengulas lanjut mengenai koperasi, Noh berkata, penubuhan Koperasi Kariah Masjid berpotensi untuk meningkatkan keterlibatan umat Islam dalam platform perniagaan.

Katanya, kementerian mensasarkan 200 Koperasi Kariah Masjid dapat diwujudkan tahun ini di seluruh negara.

"Kewujudan Koperasi Kariah Masjid ini mampu meningkatkan sosio ekonomi masyarakat setempat selain mampu menyelesaikan masalah bekalan produk halal.

"Saya menyeru komuniti Islam di negara ini untuk menubuhkan Koperasi Kariah Masjid selari dengan hasrat kementerian untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 9:39 PM