ALIFF dan tunangnya, Bella.
ALIFF dan tunangnya, Bella.
Sudirman Mohd Tahir


Sama seperti pasangan bertunang yang lain, penyanyi Aliff Aziz, 26, berdepan dengan pelbagai cabaran apabila ada yang cemburukan hubungannya dengan Dayang Nabellah Awang Astillah atau lebih dikenali sebagai Bella Astillah, 20.

Menurut Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, perkara itu timbul sejak mereka mula berkawan dan kemudian mengikat tali pertunangan pada 13 Disember 2015.

“Selepas bertunang dugaan makin banyak. Ada pihak tidak suka lihat kami bersama terutama kawan lelaki Bella.

“Apabila mendapat tahu kami bercinta dan bertunang, mereka terus menjauhkan diri. Sikap mereka buat saya terasa hati. Disebabkan kisah lalu, mereka label saya lelaki yang teruk.

“Tak mengapalah, saya pun malas ambil pusing persepsi kawan-kawan Bella terhadap saya. Apa yang penting Bella dan keluarganya memahami dan percayakan saya,” katanya.

Sementara itu, Bella yang juga kakak kepada penyanyi, Didi Astillah memilih untuk setia bersama Aliff daripada termakan kata-kata rakannya.

Bella berkata, dia reda hilang kawan apabila memilih Aliff sebagai bakal suami.

“Boleh dikatakan hubungan saya dengan rakan-rakan memang rapat. Namun, dalam situasi sekarang Aliff adalah bakal suami saya, jadi sudah semestinya saya berpihak kepadanya.

“Mana-mana pihak yang tidak sukakan kami bersama atau tidak boleh menerima kehadiran Aliff dalam hidup saya, tidak mengapa. Saya tidak boleh paksa semua orang untuk menyukai kami,” katanya.

Sambung Bella, dia kecewa dengan sikap yang ditunjukkan rakan-rakannya itu.

“Tidak sangka begitu sekali mereka membenci Aliff. Memang rasa kecewa dan terkilan sebab mereka sa­ngat rapat dengan saya.

“Jika kawan sejati, mereka sepatutnya menyokong dan bukannya ‘membuang’ saya daripada hidup mereka,” katanya.

Jelas Bella lagi, rakan-rakannya itu turut menukar nombor telefon selain membuang dan menyekat laman sosial Instagram miliknya.

Diganggu wanita lain

Tidak cukup dengan itu, penyanyi lagu Sayang Sayang ini mengakui turut diganggu peminat wanita tetapi ia sama sekali tidak menjejaskan hubungannya dengan Bella.

“Sejak bertunang saya dan Bella lebih terbuka. Setiap perkara yang dilakukan kami akan kongsi bersama. Pendek kata, kami lebih peka dan sensitif dengan apa yang berlaku di sekeliling.

“Saya perlu jujur dalam perhubungan, malah akan berterus terang dengannya jika berjumpa orang lain.

“Saya tidak mahu perkara itu sampai ke pengetahuannya dalam versi berbeza. Alhamdulillah, setakat ini kami saling memahami,” katanya.

Berkongsi mengenai majlis perkahwinan, Aliff dan Bella bakal bersatu selepas sambutan Aidilfitri, Julai depan.

Pun begitu, jelas Aliff, keluarga kedua-dua belah pihak masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis.

“Buat masa sekarang persiapan sudah siap 40 peratus. Kami tidak mahu melakukan pada saat akhir, jadi selagi ada masa kami buat mana yang patut.

“Kami tidak mengharapkan tajaan tetapi andai ada, itu rezeki,” katanya.

Aliff dan Bella bakal bernikah di Kuala Lumpur selain mengadakan dua majlis resepsi kecil-kecilan di Singapura dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 11:23 AM