Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Pembantu perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan, di sini, atas 24 pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Mohd Shahrizan Ismail Sinen, 37, sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak dan Rahimah Rahim.

Mengikut tujuh pertuduhan, dia didakwa memalsukan sijil cuti sakit kerajaan dengan niat menyokong tuntutan cuti sakit dua penama terhadap majikan mereka di rumah di Taman Bunga Sejati, Kuala Sawah, di sini, pada Julai dan Ogos 2014.

Selain itu, tertuduh turut berdepan 17 pertuduhan memiliki meteri bertulis Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Klinik Kesihatan Seremban dan beberapa pegawai perubatan serta doktor dengan niat untuk melakukan pemalsuan di lokasi sama, pada 30 September 2014.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda dan Seksyen 473 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 3:20 PM