TIGA wanita serta tiga lelaki belakang diiringi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Butterworth. FOTO Danial Saad
TIGA wanita serta tiga lelaki belakang diiringi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Butterworth. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Enam pekerja kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan sijil cuti sakit pada Oktober tahun lalu hingga Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafizi Zainuddin, 29; Muhamad Zulhakimi Masdi, 23, dan Muhammad Amir Md Ishak, 19, mengaku bersalah terhadap dakwaan itu.

Bagaimanapun, Nur Farah Amira Alisham, 21; Nurul Izzah Abdul Razak, 21, dan Marsya Fatini Mohd Rani, 20, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan dua majistret, Mohd Zaki Abd Rahman dan Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret 1 dan 2, kesemua tertuduh didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang dipercayai adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat EMS M Engineering Medical System Sdn Bhd di Bukit Minyak di sini, antara 27 Oktober tahun lalu hingga 27 Februari lalu.

Marsya Fatini pula berhadapan satu lagi pertuduhan apabila didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Februari hingga 27 Februari lalu di tempat yang sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 1, Mohd Zaki menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,700 dan penjara lima hari bermula tarikh tangkapan ke atas Mohamad Hafizi dan Muhammad Amir.

Di mahkamah yang sama juga, Mohd Zaki turut membenarkan Nurul Izzah diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Kalaivaanan, manakala dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Abdul Nasir Wahid dan seorang lagi tertuduh diwakili peguam Muhammad Zayumi Mohd Yusof.

Di Mahkamah Majistret 2 pula, Sri Pracha menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dengan penjara lima hari bermula hari ini ke atas Muhamad Zulhakimi.

Sri Pracha turut membenarkan Nur Farah Amira dan Marsya Fatini diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes di Mahkamah Majistret 2 dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Kedua-dua majistret kemudian menetapkan 3 Mei nanti sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini dilaporkan polis menerima laporan daripada seorang doktor yang mengesyaki tandatangan dan cop miliknya dipalsukan.

Doktor itu mengesyaki bahawa enam individu yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Minyak memperdaya majikan mereka dengan mengemukakan sijil cuti sakit menggunakan cop dan tandatangan miliknya yang disyaki dipalsukan.

Doktor terbabit pernah bekerja di Bahagian Pesakit Luar di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan sudah tamat kontrak pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:18 PM