SCOTT puas mengucup trofi.
SCOTT puas mengucup trofi.
AFP

Miami, AS: Bintang golf Australia Adam Scott menjuarai kejohanan pertamanya dalam tempoh hampir dua tahun semalam selepas mencatat par 70 untuk menjulang gelaran Klasik Honda dengan satu pukulan mengatasi Sergio Garcia.

Juara Masters 2013 itu gagal menjulang sebarang trofi sejak kejohanan Colonial pada Mei 2014, apabila Scott dinobat sebagai pemain nombor satu dunia.

“Ia sungguh hebat. Seronok dapat melakukan pukulan berkualiti, mujurlah ia cukup untuk menang,” ujarnya.

Scott menamatkan aksi 72 lubang dengan sembilan bawah par 271 sementara pemain Sepanyol Garcia mencatat 71 pukulan pada pusingan terakhir untuk menduduki tangga kedua kurang satu pukulan.

Dua pemain Amerika Syarikat Justin Thomas dan Blayne Barber berkongsi tangga ketiga dengan 275.

Scott menakluk gelaran profesional ke-28 dan ke-12 dalam Jelajah PGA AS, terbanyak bagi pemain aktif di bawah usia 40 tahun.

Scott yang menduduki ranking ke-13 minggu ini, menang buat kali pertama sejak ‘long putter’ yang digunakan sejak bertahun lamanya dilarang selepas peraturan golf dipinda.

“Permainan saya benar-benar menjadi,” kata Scott.

“Kami bekerja keras untuk mencapai tahap ini, mempamerkan peningkatan dalam semua aspek, terutama di green. Semuanya menjadi minggu ini.”

Scott muncul pemenang pertama kejohanan PGA dengan quadruple bogey dalam aksi 72 lubang selepas Phil Mickelson melakukannya pada Kejohanan Jelajah PGA 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 7:56 AM