AFP

Pacific Palisades, AS: Dustin Johnson (gambar) semakin hampir dengan ranking nombor satu dunia semalam apabila mencatat lima bawah par 66 untuk mendahului satu pukulan selepas pusingan kedua Terbuka Genesis.

Juara Terbuka AS yang mampu melonjak dari ketiga ke tangga pertama dunia dengan kemenangan di Riviera Country Club, melepasi 36 lubang dengan 10 bawah par 132 keseluruhan.

Pemain Amerika Syarikat itu mendahului satu pukulan berbanding rakan senegara Pat Perez, yang mengekorinya dengan birdie berturut-turut untuk 66 pukulan dan Cameron Tringale, yang mengumpul tujuh birdie untuk tujuh bawah par 64.

Pemain Venezuela Jhonattan Vegas serta dua pemain AS Patrick Rodgers dan JT Poston ketinggalan dua pukulan dengan 135 keseluruhan.

Johnson, yang enam kali menduduki 10 tangga teratas di Riviera termasuk tewas menerusi playoff dua tahun lalu mampu menyingkirkan Jason Day dari puncak ranking dunia dengan kemenangan pertama di lapangan klasik di barat Los Angeles.

“Saya mahu meletakkan diri saya untuk menjuarai kejohanan golf ini dan apa yang saya pentingkan adalah bagaimana untuk membawanya ke tahap itu,” katanya.

“Saya juga mahu mencapai perkara lain seperti mata dan ranking dunia tapi saya tidak bimbang mengenainya.”

Jika Johnson menang, Day perlu sekurang-kurangnya berkongsi tangga ketiga untuk mempertahankan kedudukannya.

Pemain golf Australia itu ketinggalan lapan pukulan selepas aksi pusingan kedua awal pagi semalam.

Day antara pemain yang terpaksa menangguhkan permainan apabila hujan dan ribut melanda kelmarin ketika Johnson tidak dapat membuat tee pertama.

Day berkata gangguan itu tidak mendatangkan masalah berbanding aksinya yang tidak menentu.

“Pukulan saya tidak menjadi,” katanya.

“Apabila anda memikirkan terlalu banyak teknik anda hilang fokus terhadap sasaran dan itulah yang saya hadapi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 9:08 AM