FARIZAL mengusahakan ternakan ayam piru.
FARIZAL mengusahakan ternakan ayam piru.
FARIZAL menunjukkan bulu ayam piru yang dijual untuk dijadikan alat memanah.
FARIZAL menunjukkan bulu ayam piru yang dijual untuk dijadikan alat memanah.
FARIZAL menunjukkan tanaman rumput Napier dari Australia yang mampu menjimatkan kos makanan ternakan.
FARIZAL menunjukkan tanaman rumput Napier dari Australia yang mampu menjimatkan kos makanan ternakan.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar

Selepas kejayaan mengusahakan penternakan ayam piru (ayam belanda), seorang bekas guru melipatgandakan usaha apabila memajukan tanah seluas 1.2 hektar dengan tanaman rumput jenis Napier yang kini mula memberi hasil lumayan.

Farizal Hamidon, 48, berkata, rumput Napier yang ditanam sejak Ogos 2013 kini mula menunjukkan hasil memberangsangkan kerana cepat membesar dan boleh dituai dalam tempoh 30 hingga 45 hari.

“Tanaman kontan dengan benih dari Australia ini mempunyai protein tinggi dan sangat sesuai untuk makanan ternakan termasuk ayam piru, kambing, lembu dan kerbau kerana sangat menjimatkan.

“Bermodalkan RM3,000, saya membeli benih rumput Napier dan tanaman itu mampu menjimatkan kos makanan ternakan kira-kira 90 peratus berbanding dedak yang digunakan sebahagian besar penternak,” katanya ketika ditemui di Teroka Jaya, Mukim E, Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Beliau berkata, penggunaan dedak sebanyak 50 kilogram (kg) berharga RM100 berbanding penggunaan campuran rumput Napier dan dedak cuma RM10.

“Melihat rumput Napier begitu subur, saya rasa cukup puas kerana pengorbanan menumpukan usaha melebarkan perniagaan ini sudah mula membawa pulangan memberangsangkan.

“Malah kini saya mula menjual rumput berkenaan dan menjadi pilihan penternak dari Perak, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Farizal berkata, rumput Napier yang ditanamnya dijual pada harga RM15 sekilogram dan setakat ini sudah memperoleh pendapatan antara RM20,000 hingga RM40,000.

“Alhamdulillah, saya berjaya menghasilkan rumput Napier yang mempunyai daun selebar 2.5 sentimeter walaupun saiz biasa di pasaran cuma 1.5 sentimeter.

“Rumput Napier digemari ternakan kerana mengandungi kandungan air yang banyak dan teksturnya lembut,” katanya.

Sebelum ini, Farizal memulakan penternakan ayam piru pada Mei 2011 dengan modal RM150,000 dan kini bilangan ayam berkenaan mencecah lebih 2,000 ekor dengan dibantu rakan perniagaannya, Amirul Hifzan Anor.

Penternakan ayam piru diusahakannya kini menjadi pilihan pelanggan kerana haiwan itu kurang kolestrol selain mempunyai pelbagai khasiat lain.

Berkat usahanya itu, Farizal muncul johan Kategori Penternak Unggas pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri 2013 dan tempat kedua pada pertandingan penternak unggas (ayam piru dan daging) pada tahun sama.

Ayam piru segar dijual pada harga RM25 hingga RM35 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:04 AM