Norhayati Nordin

Shah Alam: Lebih 8,000 tetamu hadir ke majlis persandingan pasangan pelakon Shaheizy Sam, 34, dan Syatilla Melvin, 25, di sini, hari ini.

Tetamu mula tiba seawal 11 pagi membabitkan keluarga, sanak-saudara, teman rapat, rakan selebriti dan kelompok peminat Sam serta Syatilla.

Pengantin diarak masuk ke dalam dewan dengan santai tetapi menawan, pada 3 petang, dengan diiringi barisan pemuzik 'drumbell' dari KL3D.

Sam yang ditemui media selepas majlis persandingan itu berkata dia sangat berterima kasih kepada semua tetamu.

“Ini adalah majlis resepsi terakhir untuk kami berdua dan rasanya cukuplah sehingga ini. Justeru, untuk tema kali ini kami selesa memilih untuk santai saja.

"Apa yang paling utama, saya berharap semua tetamu yang hadir berpuas hati dan secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan di antara satu dengan lain," katanya.

Sam berkata, terima kasih tak terhingga juga kepada kelab peminatnya yang selama ini tidak jemu dan masih setia memberi sokongan.

Bagaimanapun, katanya, tujuan utama majlis resepsi ketiga itu adalah untuk memberi ruang kepada semua kenalan dan sanak saudara yang tidak hadir pada dua majlis sebelum ini.

Sementara itu, ditanya mengenai destinasi bulan madu, Syatilla berkata dia dan Sam belum membuat sebarang perancangan.

"Tetapi, ikutkan saya destinasi bulan madu yang menjadi impian adalah kawasan berpantai. Saya sukakan Maldives.

"Apapun, macam kami katakan tiada sebarang rancangan dibuat. Lagi pun, saya dan Sam bukan jenis suka merancang," katanya.

Sam pula berkata, apa yang ingin dilakukannya selepas bergelar suami yang sah buat Syatilla adalah memberi terbaik buat isteri tercinta.

Sam berkata, dia mahu meluangkan lebih masa dan melakukan semua perkara bersama Syatilla.

Pada majlis persandingan itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi tanah air seperti Elliza Razak, Halil Chik, pelakon Mat Over, Zack KOOL dan ramai lagi.

Antara rakan selebriti popular yang dilihat hadir ialah Johan, Ozlynwati, Adi Putra, Esma Danial, Emma Maembong, Mustapha Kamal, Susan Menon, Bell Ngasri, Syafie Naswip, Ika Nabella dan ramai lagi.

Majlis resepsi diacarakan pelakon dan pelawak terkenal, Didie Alias.

Sam dan Syatilla selamat diijab kabul di kediaman keluarga Syatilla di Nibong Tebal, Pulau Pinang, 8 Februari lalu.

Majlis persandingan sebelah pihak perempuan diadakan sehari selepas majlis nikah.

Majlis bersanding kedua pasangan ini dan bagi pihak lelaki pula berlangsung di Kuala Lumpur, 14 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:47 PM