FAIL Mohd Fadli Hamzah
FAIL Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Kerajaan menyarankan majikan guna peluang penangguhan untuk menyertai Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau 'Rehiring Programme'.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata program itu yang bermula pada 15 Februari lalu akan diteruskan bagi PATI daripada 15 negara sumber sedia ada.

"Majikan serta pekerja yang menyertai program itu serta memenuhi syarat ditetapkan akan dikecualikan daripada tindakan pendakwaan.

"Mereka hanya perlu membayar kompaun atas kesalahan tinggal lebih masa serta bayaran yang berkaitan bagi tujuan penggajian semula," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh.

Penangguhan itu berkuatkuasa sehingga kerajaan berpuas hati mengenai keperluan sebenar tenaga kerja asing seperti yang diperlukan oleh industri di negara ini.

Kerajaan juga menangguhkan penetapan terhadap pembayaran dua kategori levi selain memberi peluang secukupnya kepada rakyat tempatan bekerja di sektor yang didominasi oleh pekerja asing.

Pada masa sama, Alwi berkata, bagi 15-19 Februari, sejumlah 8,418 permohonan diterima membabitkan 8,100 permohonan bagi warga Indonesia, 178 (Myanmar) dan 140 bagi lain-lain warga negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kementerian mengarahkan Jabatan Imigresen meningkatkan tindakan penguatkuasaan.

“Tindakan penguatkuasaan juga diambil kepada pekerja asing yang terbabit dalam sektor tidak dibenarkan penggajian pekerja asing.

"Jabatan Imigresen memulakan operasi pada semalam dengan pemeriksaan ke atas 2,125 rakyat asing dan daripada jumlah itu, 971 orang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 12:00 PM