DR Ahmad Zahid
DR Ahmad Zahid
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Dasar Komitmen Mandatori Majikan (EMC) akan mula dilaksanakan hari ini yang mana ia berperanan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, menerusi EMC, majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digajikan bermula dari peringkat permohonan, penggajian sehinggalah pekerja asing berkenaan dihantar pulang ke negara asal.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, majikan juga bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja asing berkuatkuasa hari ini.

“Bermula esok (hari ini), majikan tidak lagi dibenarkan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi menampung pembayaran levi.

“Perubahan dasar ini akan meletakkan majikan lebih bertanggungjawab dalam menjaga pekerja mereka dan sekali gus mengelakkan isu pekerja asing lari, bertukar sektor secara haram, tinggal lebih masa dan menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya, majikan juga perlu mematuhi Garis Panduan Standard Minimum Penginapan Pekerja Asing yang mana pekerja akan ditempatkan di penginapan yang disediakan oleh majikan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan penggunaan Surat Aku Janji yang menggariskan tanggungjawab dan syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap majikan di dalam penggajian pekerja asing dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, kerajaan turut mengkaji semula kadar wang cagaran yang dikenakan kepada majikan bagi membawa masuk pekerja asing.

“Kadar sedia ada didapati terlalu rendah dan tidak berkesan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan majikan menghantar pekerja asing pulang ke negara asal setelah kontrak atau khidmat mereka tidak lagi diperlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:55 AM