MUSTAFAR menunjukkan kad pekerja asing ketika sidang media Program E-Kad Sementara Pekerja Asing. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MUSTAFAR menunjukkan kad pekerja asing ketika sidang media Program E-Kad Sementara Pekerja Asing. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Jabatan Imigresen menegaskan, pihaknya tidak pernah melantik orang tengah untuk urusan permohonan E-Kad sementara pekerja asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, peringatan itu susulan ada pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kad palsu dengan bayaran RM7,000 malah, tiga individu sudah ditahan.

Menurutnya, permohonan kad berkenaan hanya boleh dibuat di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen termasuk cawangan negeri tanpa sebarang bayaran bermula 15 Februari hingga 30 Jun ini.

"Justeru, majikan yang terbabit perlu hadir membawa pekerja masing-masing untuk didaftarkan serta tidak melalui orang tengah atau ejen bagi mengelakkan ditipu.

"Permohonan hanya dalam tempoh yang diberikan dan kita tidak akan melanjutkannya, jadi majikan jangan melakukan pendaftaran di saat akhir kerana tempoh diberikan adalah panjang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Mustafar dipetik berkata, kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan kad sementara atau E-Kad bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah

Beliau dilaporkan berkata, E-Kad itu berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 6:36 PM