Shahrudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan jersi bola pasukan Helang Merah tiruan dengan jenama Warrix bernilai RM1,700 yang dirampas. FOTO Amran Hamid
Shahrudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan jersi bola pasukan Helang Merah tiruan dengan jenama Warrix bernilai RM1,700 yang dirampas. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 65 jersi bola sepak tiruan pasukan Helang Merah berlogo jenama Warrix bernilai RM1,700 petang semalam.

Dalam serbuan pada 2 petang itu, seramai 30 pegawai KPDNKK Kedah yang menerima aduan daripada pemilik syarikat Warrix berhubung penjualan baju tiruan itu bertindak memeriksa 26 premis jualan baju itu di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah Shahrudin Hamzah berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lima premis melakukan kesalahan menjual jersi tiruan sebelum bertindak merampasnya.

Menurutnya, pihaknya mengambil serius berhubung penjualan jersi tiruan ini dan akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan ini.

"Kita juga sudah mengenal pasti dua ke tiga pembekal yang membawa masuk jersi ini dari negara jiran dan tindakan susulan akan diambil selepas ini.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8(2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Penjualan jersi itu semalam sempena perlawanan Kedah dan Terengganu menyaksikan tuan rumah menang 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 11:31 AM