TUNKU Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Wisma Darulaman. FOTO Eizairi Shamsudin
TUNKU Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di Wisma Darulaman. FOTO Eizairi Shamsudin
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah mengambil sikap bersama meminta proses pertukaran Menteri Besar dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah melalui usul undi tidak percaya.

Ketua Penerangan Pas Kedah yang juga ADUN Alor Mengkudu, Ahmad Yahya berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya tindakan sebahagian pemimpin Barisan Nasional(BN) negeri ini yang cuba menurunkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melalui cara yang tidak bertatasusila.

Menurutnya, jika Mukhriz dinaikkan secara demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah dibuat mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan dan menghormati kehendak rakyat.

"Kami menggesa masalah kepimpinan utama kerajaan negeri ini diselesaikan dengan segera kerana jika berlarutan ia akan membantutkan urusan pentadbiran negeri yang membawa kesan buruk kepada rakyat.

"Jika kemelut menghadapi jalan buntu pilihan terbaik penyelesaian berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah iaitu menentukan kehilangan sokongan majoriti ADUN kepada Menteri Besar melalui usul di persidangan DUN," katanya selepas mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 6:29 PM