Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Hasrat penembak wanita negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (gambar) untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio Ogos ini tidak kesampaian apabila dia hanya berjaya menamatkan saingan final acara 50m rifle tiga posisi individu di tangga kelapan pada Kejohanan Kelayakan Olimpik di New Delhi.

Selepas berjaya memberikan tentangan hebat pada pusingan kelayakan dengan menduduki tangga kelima menerusi bidikan 581 mata, atlet kelahiran Pahang itu gagal menahan kesakitan belakangnya untuk meneruskan rentak cemerlang itu.

Nur Ayuni, pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura dalam acara itu tahun lalu hanya mengumpul 395.2 mata pada final, tersingkir awal dalam saingan yang menyaksikan penembak Singapura Jasmine Ser mengungguli tempat pertama dengan 458.0 mata.

Tempat kedua menjadi milik atlet dari Iran Mahlagha Jambozorg menerusi 455.4 mata manakala Lee Kye Rim dari Korea Selatan mengumpul 443.5 mata di tempat ketiga.

“Saya sudah berikan yang terbaik tapi memang rezeki tidak memihak kepada saya. Sebelum kejohanan ini, kami berlatih agak keras di sini dan saya mengalami sakit belakang yang sedikit mengganggu prestasi hari ini (semalam).

“Memang agak kecewa kerana tidak dapat tiket ke Sukan Olimpik, tapi apa boleh buat, bukan rezeki saya,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sebelum ini, Nur Ayuni turut bertanding dalam acara 10m air rifle namun gagal meraih keputusan baik akibat demam.

Kegagalan itu menyaksikan tiada atlet menembak layak ke Sukan Olimpik Rio setakat ini selepas Nur Suryani Mohd Taibi berjaya melakukannya di Sukan Olimpik London empat tahun lalu dalam acara 10m air rifle ketika mengandung lapan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:46 AM