JOHNATHAN akan menyertai enam atlet lain ke Rio.
JOHNATHAN akan menyertai enam atlet lain ke Rio.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Saya rasa macam sedar dari mimpi,” kata penembak elit negara Johnathan Wong selepas melakar kejutan layak ke Sukan Olimpik Rio Ogos ini apabila muncul juara acara 10m air pistol individu lelaki pada Kejohanan Menembak Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi, semalam.

Tanpa harapan besar disandarkan di bahu atlet berusia 24 tahun itu, dia berjaya mengetepikan pencabar lebih berpengalaman apabila mengumpul 198.7 mata pada aksi final.

Penembak dari Arab Saudi Atallah Alanazi terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 198.3 mata manakala Kim Jong Su dari Korea Utara ketiga (176.9).

Kejayaan Johnathan dianggap penyelamat kepada skuad menembak negara yang mengharungi hari suram sebelum ini di kejohanan yang menjadi medan terakhir memburu tempat ke Rio de Janeiro.

“Masa beraksi di final tadi (semalam), saya memang rasa gementar dan saya tidak terfikir untuk mendapat nombor satu. Tapi berbekalkan tunjuk ajar jurulatih dan penembak senior, saya dapat menenangkan diri untuk kekal fokus.

“Memang selama ini sasaran saya nak layak ke Sukan Olimpik. Dulu saya lihat orang lain layak, macam mustahil untuk saya tapi hari ini saya berjaya memenangi pingat emas dan layak ke Sukan Olimpik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Penembak dari Melaka itu melangkah ke final apabila menduduki tangga ketiga dalam kalangan 50 penembak pada pusingan kelayakan dengan catatan 578 mata.

Namun catatan itu jauh lebih rendah berbanding rekod kebangsaan yang diciptanya tahun lalu 585 mata.

“Ini bukan catatan terbaik saya, tapi ini kejohanan terbesar saya berjaya masuk final dan menang. Saya akan berusaha lebih gigih sebelum bertanding di Sukan Olimpik nanti,” katanya yang kini dibimbing jurulatih Hashim Desa.

Johnathan atlet menembak ketiga berjaya layak ke Sukan Olimpik selepas Hasli Izwan Amir Hasan melakukannya di Sukan Olimpik Beijing 2008 dan Nur Suryani Taibi di Sukan Olimpik London 2012.

Dengan kejayaan itu, Malaysia kini memiliki enam atlet layak ke Sukan Olimpik Rio selepas Pandelela Rinong, Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng (terjun) dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Skuad menembak negara masih berpeluang mengintai slot ke Olimpik apabila empat penembak lelaki negara beraksi dalam acara 50m rifle tiga posisi individu hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 7:21 AM