AYUNI Farhana akan beraksi dalam acara 10m air rifle hari ini.
AYUNI Farhana akan beraksi dalam acara 10m air rifle hari ini.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Penembak negara Hasli Izwan Amir Hassan (gambar) gagal menempah tiket ke Sukan Olimpik Rio Ogos ini apabila sekadar menduduki tangga kesembilan dalam acara 25m rapid fire pada Kejohanan Menembak Kelayakan Olimpik Asia di New Delhi, semalam.

Biarpun memperbaiki kedudukan pada pusingan kedua dia sekadar mengumpul 285 mata keseluruhan untuk menamatkan cabaran di kedudukan kesembilan.

Sebelum itu pada pusingan pertama, Hasli menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan catatan 98-90-94.

Dia yang pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing 2008 terpaksa menerima keputusan itu dengan hati terbuka apabila hanya enam penembak terbaik mara ke peringkat akhir.

Sementara itu dua lagi wakil negara dalam acara sama Hafiz Adzha dan Mohd Ridhuan Mohamed masing-masing menamatkan saingan di tempat ke-16 dan 17.

Acara itu dimenangi oleh penembak Jepun Teruyoshi Akiyama selepas mengumpul 28 mata diikuti atlet Korea Selatan Choi Yong Hoo (25) dan Mori Eita (20) dari Jepun ketiga.

Hanya dua tempat ditawarkan ke Olimpik dengan atlet China dan Jepun sudahpun layak sekali gus memberi peluang atlet Qatar Oleg Engachev yang menduduki tempat keempat.

Hari ini atlet negara Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli akan beraksi dalam acara 10m air rifle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:54 AM