LALUAN yang perlu ditempuhi pendaki untuk menawan puncak Kinabalu.
LALUAN yang perlu ditempuhi pendaki untuk menawan puncak Kinabalu.
KAKITANGAN Mountain Torq bergambar kenangan bersama pasukan KSP.
KAKITANGAN Mountain Torq bergambar kenangan bersama pasukan KSP.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Menawan puncak kelima tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu, sememangnya menjadi idaman semua pendaki tidak kira yang baru berjinak-jinak atau sudah ‘otai’.

Gunung yang menjadi kebanggaan Malaysia setinggi 4,095.2 meter itu juga menjadi medan latihan intensif fasa terakhir pasukan empat pendaki wanita, Kembara Srikandi Prihatin (KSP) yang turut disertai penulis dalam misi menawan puncak tertinggi Eropah, Gunung Elbrus, Russia pada 31 Ogos ini.

Berbeza dengan latihan terdahulunya yang lebih fokus kepada aspek ketahanan fizikal dan kecergasan, latihan KSP selama tiga hari dua malam dengan kerjasama Taman-Taman Sabah (TTS) itu menjadikan puncak Kinabalu sebagai medan penyesuaian untuk pendakian kawasan altitud tinggi.

Cabaran kali ini jelas jauh berbeza dengan pendakian kali pertama pada 2010 kerana penulis serta tiga lagi rakan sepasukan, Myra, Dilla dan Renee perlu berdepan cuaca sejuk selama dua malam di Panalaban.

Pendakian kami bermula dari pintu Timpohon ditemani dua malim gunung berpengalaman iaitu Roland yang bertanggungjawab sebagai pemandu arah dan Hali yang membawa barangan.

Sepanjang perjalanan, ada banyak papan tanda peringatan kepada pendaki supaya lebih berhati-hati selain mempercepatkan langkah apabila berada di zon berbahaya dan di kawasan yang curam pula, tali keselamatan turut disediakan.

Bermula dari kilometer (KM) 0.5 (Carson’s Fall), banyak anak tangga perlu dinaiki dan ia berterusan ke KM1 (Kandis), KM1.5 dan KM2 (Ubah), KM2.5 (Lowi) dan KM3, Mempening.

Laluan trek semakin menegak ketika melewati KM4 (Layang-layang) dan benar-benar menguji stamina serta keupayaan pendaki. Begitupun, cuaca panas mula bertukar dingin sebaik menghampiri titik semak KM5, Villosa yang menandakan pendakian ke Panalaban hampir mencapai penghujungnya.

Memandangkan laluan semakin menegak, kami kerap berhenti untuk melepaskan lelah sebelum tiba di Panalaban kira-kira jam 4.45 petang. Panalaban adalah hentian baru selepas Laban Rata ditutup kerana rosak teruk akibat dilanda gempa bumi pada 5 Jun dua tahun lalu.

Kami segera menuju ke rumah rehat menikmati makan malam sebelum mendaftar masuk ke Lemaing Hut untuk berehat, bagi bersiap sedia mendaki awal keesokan paginya. Ketika itu, kepala penulis mula berdenyut meskipun sudah mengambil dua biji pil penahan sakit, tidak berkurangan hingga sukar melelapkan mata.

Begitupun, tepat jam 2 pagi, kami berkumpul di rumah rehat untuk menikmati sarapan lewat malam bagi mendapatkan tenaga sebelum memulakan pendakian seawal jam 2.30 pagi dan dijangka tiba ke puncak dalam tempoh sekitar empat jam dengan melalui beberapa laluan curam.

Sebelum ini, laluan dari Laban Rata sehingga ke puncak adalah sejauh 1.1 kilometer (km) tetapi laluan baru ini (laluan Ranau) ditambah 700 meter menjadikan jarak keseluruhan sejauh 1.8 kilometer. Antara pembaharuan dan penambahbaikan yang dilakukan ialah laluan anak tangga baru kepada pendaki dikenali sebagai ‘anak tangga 1,000’.

Walaupun laluan dibuka ini mengakibatkan pendaki terpaksa menempuh perjalanan lebih jauh, mereka masih berpeluang melewati puncak Tunku Abdul Rahman dan Donkey Ears yang menjadi mercu Gunung Kinabalu.

Selain itu, pendaki juga boleh melihat sendiri kesan runtuhan akibat gempa bumi lalu. Laluan baru yang dibina di atas permatang, menghidangkan pemandangan gaung dan lembah daerah Ranau saujana mata memandang, berbeza dengan laluan lama yang kebanyakannya melalui di celahan pokok.

Begitupun, laluan baru memerlukan kekuatan mental dan fizikal pendaki kerana ada lokasi tertentu yang dianggap berisiko, memerlukan pendaki mendaki di laluan curam.

Namun, pujian harus diberi kepada pihak pengurusan TTS kerana aspek keselamatan sangat diberikan perhatian dengan tali pemegang dibina di sepanjang tangga di laluan terbabit.

Meskipun laluan lebih jauh tetapi semua pendaki tetap diingatkan supaya tiba di Sayat-Sayat Check Point sebelum jam 5 pagi kerana jika lewat, tidak dibenarkan meneruskan pendakian.

Alhamdulillah, selepas hampir empat jam mendaki, Dilla dan Myra berjaya menggapai puncak sekitar jam 5.45 pagi dan penulis sampai tidak lama kemudian dengan ditemani Roland.

Bagaimanapun, seorang lagi peserta KSP, Renee terpaksa berhenti di Sayat-Sayat kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan untuk meneruskan pendakian ke puncak.

Selepas mengabadikan gambar kenangan, kami bergerak turun kerana cuaca semakin mendung serta berangin dan tiba di Panalaban kira-kira jam 9.30 pagi.

Selepas berehat seketika, kami kemudian mengikuti sesi taklimat menggunakan peralatan keselamatan Via Ferrata oleh Mountain Torq yang turut menaja latihan kami di Gunung Kinabalu.

Kami dijadualkan untuk menawan puncak kali kedua pada keesokan hari, namun disebabkan masalah kesihatan penulis serta keadaan angin kencang, perancangan itu terpaksa dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:43 AM