TANGKAP layar situasi pendaki Gunung Kinabalu berdepan situasi cemas akibat aliran air yang deras. FOTO Ihsan FB Taman-Taman Sabah
TANGKAP layar situasi pendaki Gunung Kinabalu berdepan situasi cemas akibat aliran air yang deras. FOTO Ihsan FB Taman-Taman Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kawasan puncak Gunung Kinabalu dilanda aliran air deras di permukaan gunung akibat hujan lebat yang menyebabkan pendaki berdepan situasi berbahaya, awal pagi semalam.

Video mengenai kejadian itu yang dimuat naik di laman Facebook Taman-Taman Sabah menarik perhatian netizen dengan ada yang meluahkan rasa bimbang, selain memuji tindakan yang diambil untuk menjaga keselamatan pendaki.

Dalam video berkenaan, beberapa pendaki yang memakai baju hujan dilihat berpaut pada tali dengan bantuan malim gunung masing-masing ketika melalui kawasan aliran air yang deras, dipercayai dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Kinabalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat antara 5.50 hingga jam 7 pagi semalam, memaksa pendaki berpaut pada tali bagi mengelak tergelincir dan dihanyutkan aliran air yang deras.

Situasi berbahaya itu dilaporkan berlaku di laluan Kilometer 7.2 dekat Sayat-Sayat sebelum kembali tenang setelah hujan lebat di kawasan puncak Gunung Kinabalu reda.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim dilaporkan berkata ketika kejadian, seramai 115 pendaki berada di puncak gunung dengan 37 malim gunung membantu mengawal keadaan.

Bagaimanapun, katanya tiada sebarang kemalangan atau perkara tidak diingini berlaku dengan semua pendaki dapat dibawa turun ke Timpohon Gate di kaki gunung dengan selamat.

"Malim gunung yang mengiringi pendaki dapat menangani situasi itu dengan baik sebelum semuanya selamat turun dari puncak gunung," katanya.

Difahamkan, kejadian aliran air yang deras di kawasan laluan pendakian Gunung Kinabalu adalah perkara lazim terutama ketika berlaku hujan lebat di kawasan puncak gunung.

Jika keadaan membahayakan, pendakian ke puncak tertinggi Asia Tenggara itu biasanya ditangguhkan sebelum disambung semula selepas keadaan kembali reda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 6:46 PM