BERTEMU doktor sekiranya anak anda mula menunjukkan tanda menghidap selesema.
BERTEMU doktor sekiranya anak anda mula menunjukkan tanda menghidap selesema.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Hidung tersumbat, meragam dan tidak boleh tidur lena! Itu antara masalah utama dihadapi bayi atau kanak-kanak yang menghidap selesema.

Si kecil ini lazimnya berasa tidak selesa, tersengguk-sengguk dan sukar untuk menyusu yang pastinya keadaan itu amat sukar untuk dilalui.

Situasi itu bukan saja memeritkan penghidapnya, malah turut memberi cabaran terbesar kepada ibu bapa atau penjaga dalam menjaga si kecil tersayang.

Pakar perubatan menganggarkan bayi menghidap selesema sebanyak lapan hingga 10 kali dalam masa dua tahun pertamanya.

Apa yang lebih utama, ibu bapa atau penjaga perlu tenang dalam menangani pelbagai kerenah anak-anak yang diserang selesema.

Apa punca selesema?

Selesema ialah jangkitan bahagian atas saluran pernafasan berpunca daripada pelbagai jenis virus.

Kebiasaannya, selesema merebak apabila seseorang yang menghidap selesema itu bersin dan menyebarkan virus selesema ke udara sebelum dijangkiti individu lain.

Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan tangan, jadi seeloknya anda perlu membasuh tangan selepas menghembus hidung.

Bayi lebih cenderung untuk dijangkiti selesema dengan kerap disebabkan mereka dilahirkan dengan sistem imuniti yang hanya berfungsi sebanyak 60 peratus.

Bagaimana selesema menjejaskan bayi?

Bayi yang sakit mungkin akan menghidapi demam (sehingga 38 darjah Celsius), batuk, mata merah, sakit tekak dan hidung berair yang membuatkan mereka meragam dan hilang selera makan.

Bayi di bawah usia enam bulan tidak boleh bernafas melalui hidung mereka apabila mereka sakit menyebabkan mereka mempunyai masalah untuk bernafas dan makan.

Lebih menyukarkan apabila si kecil tidak bersedia untuk menghembus hidung mereka sehingga usia mencapai empat tahun, justeru ibu bapa perlu membantu mengeluarkan mukus si kecil.

Pastinya tidur malam mereka juga terganggu menyebabkan ibu bapa perlu menenangkannya, mengelap hidung dan menyapu minyak sesuai bagi mengurangkan rasa tidak selesa itu.

Berapa lama selesema berlarutan?

Simptom selalunya reda selepas tiga hingga 10 hari, walaupun pada bayi yang terlalu muda, ia mungkin berlarutan sehingga tempoh dua minggu.

Kebanyakan bayi yang ada hubungan dengan kanak-kanak yang lebih tua akan menghidap selesema sebanyak enam hingga 10 kali dalam tahun pertama mereka.

Bolehkah mencegah bayi daripada selesema?

Menyusukan bayi satu daripada cara terbaik untuk melindungi kesihatan bayi terutama pada bayi yang masih diberikan susu ibu.

Ibu bapa juga boleh cuba melindungi bayi dengan menjauhkan dia daripada individu yang sakit iaitu dengan meminta semua ahli keluarga yang kurang sihat untuk membasuh tangan mereka sebelum menyentuh bayi atau barang-barangnya.

Jika anda atau suami merokok, berhentilah dan elakkan daripada membawa bayi anda ke tempat merokok.

Kanak-kanak yang tinggal bersama perokok akan menghidap lebih banyak kali selesema dan ia berlarutan lebih lama berbanding si kecil lain yang tidak terdedah kepada asap rokok.

Bila saya perlu menghubungi doktor?

Lakukannya apabila tanda selesema sudah kelihatan jika bayi anda berusia kurang daripada tiga bulan.

Bagi bayi berusia lebih daripada tiga bulan, hubungi doktor jika:

- Selesema berlarutan lebih daripada lima hari

- Suhu badan melebihi 39 darjah Celsius

- Mengalami sakit telinga, masalah bernafas dan batuk berlarutan

- Mengeluarkan mukus hijau yang pekat dan berlarutan dari hidungnya.

Bagaimana ibu bapa boleh merawat selesema?

Tidak banyak yang boleh anda lakukan kecuali menunggu dan memberikan anak anda banyak rehat dan cecair (tingkatkan jumlah jus buah-buahan yang kaya dengan vitamin C). Jika badannya panas, berikan cecair parasetamol di bawah pengawasan doktor dan jangan sesekali berikan sebarang ubat selesema tanpa berunding dengan pakar pediatrik atau doktor.

Jika usia kanak-kanak itu kurang daripada setahun, ubat selesema yang dibeli di kedai selalunya lebih membahayakan.

Walaupun begitu, terdapat beberapa cara untuk melegakan ketidakselesaannya:

- Jika hidung bayi anda tersumbat, tinggikan kepala tilam dengan meletakkan tuala di bawahnya. Tidur mencondong boleh melegakan hidung.

- Jangan gunakan bantal untuk meninggikan kepala bayi anda (ia boleh menyebabkan bahaya mati lemas) dan jangan meletakkan bantal di bawah tilam.

- Lap hidungnya supaya dia boleh bernafas dengan lebih mudah. Anda boleh menyapu jeli petroleum di luar lubang hidung bayi anda untuk mengurangkan kesukaran.

- Jika bayi anda sukar menyusu dengan hidung tersumbat, minta doktor anda larutan bergaram untuk diletakkan di setiap lubang hidung setiap 15 minit sebelum penyusuan.

- Sesetengah ibu bapa menggunakan bebuli penyedut untuk membersihkan dan mengeluarkan air bergaram dan mukus dari hidung bayi. Cuba gunakan pengewap kabut dingin untuk melembapkan udara atau bawa bayi anda ke bilik mandi bersama anda, buka air panas atau pancuran mandi, tutup pintu dan duduk dalam keadaan berwap selama 15 minit.

- Jika bayi anda menghidapi hidung tersumbat tanpa sebarang simptom lain, periksa lubang hidungnya dikhuatiri ada sebarang objek asing kerana bayi atau kanak-kanak kadangkala meletakkan objek asing ke dalam hidung.

Selesema adalah sebahagian daripada kehidupan dan selepas anda berjaya mengharungi selesema si kecil buat kali pertama, anda akan tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya ia berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 11:28 AM