RANBIR dikatakan enggan mengahwini Katrina.
RANBIR dikatakan enggan mengahwini Katrina.

Khabarnya hubungan cinta selama lima tahun di antara Ranbir Kapoor dan Katrina Kaif sudah berakhir sejak beberapa bulan lalu.

Ada yang ternampak Ranbir berpindah keluar dari ‘penthouse’ milik mereka bersama untuk kembali menetap di pangsapurinya di pinggir kota Mumbai.

Bagaimanapun, ketika media bertanyakan perkara itu kepada Katrina pada majlis mempromosikan filem terbaru lakonannya, Fitoor baru-baru ini, aktres itu hanya mendiamkan diri.

Menurut sumber yang rapat dengan pasangan itu, ibu Ranbir iaitu aktres Neetu Kapoor sejak mula tidak menyukai Katrina.

“Pada sambutan Krismas lalu, Neetu dan kakak Ranbir iaitu Riddhima tidak kelihatan pada majlis makan tengah hari keluarga sempena perayaan itu kerana Katrina turut berada di situ.

“Neetu beri alasan cucunya, Samara yang juga anak kepada Riddhima mahu berjumpa Santa Claus di pusat beli-belah dan dia sanggup meninggalkan jamuan keluarga itu demi memenuhi keinginan cucunya,” kata sumber itu.

Disebabkan itu, sejak kebelakangan ini Ranbir banyak menghabiskan masa dengan bekas teman wanitanya Deepika Padukone untuk mempromosikan filem terbaru lakonan mereka Tamasha.

Ditanya mengenai perkara itu, Katrina berkata, dia tiada hak ke atas kehidupan orang lain.

“Mereka berhak menentukan hidup mereka sendiri. Saya mungkin tidak gembira dengan situasi sekarang, tetapi saya berharap mereka orang yang matang,” katanya.

Menurut sumber lagi, Ranbir juga sebenarnya tidak mahu mengahwini Katrina.

“Katrina sentiasa menantikan lamaran Ranbir. Walaupun mereka sudah tinggal bersama, tetapi Ranbir tidak pernah menyuarakan hasrat mahu mengahwini Katrina. Dia hanya sibuk fokus kepada kerjaya lakonannya,” kata sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 8:54 AM