MOTOSIKAL menjadi pengangkutan utama untuk mengharungi jalan tak berturap ke sekolah.
MOTOSIKAL menjadi pengangkutan utama untuk mengharungi jalan tak berturap ke sekolah.
MENGHARUNGI sungai yang airnya deras perkara biasa bagi guru untuk ke sekolah.
MENGHARUNGI sungai yang airnya deras perkara biasa bagi guru untuk ke sekolah.
SEORANG guru mengajar murid pada sesi persekolahan.
SEORANG guru mengajar murid pada sesi persekolahan.
PELBAGAI kesulitan dan cabaran terpaksa dilalui guru SK Tohoi untuk menunaikan amanah mendidik anak bangsa.
PELBAGAI kesulitan dan cabaran terpaksa dilalui guru SK Tohoi untuk menunaikan amanah mendidik anak bangsa.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Recqueal Raimi


Jalan tanah sejauh 30 kilometer yang perlu dilalui bukan saja dipenuhi lumpur dan licin, malah ada kalanya berbukit dan mempunyai cerun curam yang berbahaya.

Selayaknya, laluan seperti itu hanya sesuai dilalui kenderaan pacuan empat roda, namun jalan yang perlu dilalui 18 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, Kelantan, untuk tiba ke sekolah mereka.

Dengan hanya menunggang motosikal yang sudah diubah suai menjadi sedikit lasak dengan bunga tayar lebih tebal, mereka mengharungi jalan berkenaan semata-mata mahu menunaikan tanggungjawab diamanahkan untuk mendidik anak bangsa.

Bagi semua guru berkenaan, rutin melalui jalan itu dari Kuala Betis selama lebih dua jam adalah permulaan kepada cabaran yang lebih besar dalam mendidik murid Orang Asli.

Tanpa menghiraukan kepayahan dihadapi, guru terbabit gigih mengharungi liku-liku jalan yang penuh cabaran demi menjadi pengajar terbaik di sekolah yang terletak jauh di pedalaman Hutan Rizab Balah.

Mewakili guru berkenaan, Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SK Tohoi Abdullah Ziyadi Ibrahim berkata, kesulitan itu sudah sebati dengan diri mereka, namun mengenangkan kewajipan yang diperlu digalas, mereka nekad mengharunginya.

Walaupun menempuh pelbagai kesukaran, sebalik kepayahan itu mereka berjaya mendekatkan diri dengan kehidupan masyarakat Orang Asli yang ternyata masih mengekalkan nilai kehidupan murni.

“Sekolah ini jauh berbeza dengan sekolah lain, apatah lagi jika dibanding dengan sekolah di bandar. Di sini, kami bukan hanya mengajar, tapi boleh menjadi ibu bapa murid dan kadang kala sumber rujukan masyarakat Orang Asli yang memerlukan pendapat.

“Kami perlu berdikari, melakukan semua perkara bersama daripada urusan pentadbiran, mendidik dan mengasuh anak Orang Asli kerana 80 peratus murid tinggal di asrama.

“Sebab itu bagi guru yang tidak biasa susah, mereka sangat sukar menyesuaikan diri . Tapi bagi kami, kesukaran itulah hadiah awal untuk memperoleh kepuasan sebagai pendidik,” katanya.

SK Tohoi mempunyai hampir 250 murid berdaftar pada sesi persekolahan lalu dengan 18 guru termasuk dua guru wanita dan dibantu empat pembantu pengurusan murid serta dua kakitangan sokongan.

Abdullah Ziyadi, 34, berkata, kebanyakan guru dan kakitangan terpaksa tinggal berasingan dengan keluarga masing-masing demi tanggungjawab mendidik murid Orang Asli di sekolah itu.

Beliau sendiri menyifatkan keputusan tinggal berjauhan dengan keluarga sebagai pengorbanan paling besar dilakukan apabila mula berkhidmat di sekolah itu, lima tahun lalu.

Katanya, isteri dan lima anaknya berusia empat bulan hingga 11 tahun menetap di Kota Bharu dan beliau akan pulang menjenguk mereka pada setiap hujung minggu.

Sebelum ini, seperti guru lain, anak jati Kelantan itu hanya menggunakan motosikal ke sekolah dan meletak keretanya di rumah sewa di bandar Gua Musang.

“Disebabkan jalan masuk ke sekolah tidak sesuai untuk laluan kereta, kami terpaksa menyewa rumah untuk meletakkan kenderaan.

“Apabila cuti hujung minggu, kami beramai-ramai keluar ke Gua Musang dan pulang ke rumah masing-masing menaiki kenderaan sendiri. Tapi bukan semua guru di sini orang Kelantan, malah ada yang berasal dari Perak dan Kedah.

“Meskipun begitu, tidak pernah sekali pun kami mengeluh mengenai keadaan ini, sebaliknya menjadi penguat semangat untuk mengajar kerana itulah tanggungjawab hakiki kami,” katanya mengakui pengalaman pertama ketika dihantar mengajar ke sekolah itu cukup sukar dilupakan.

“Saya ingat lagi pada tahun pertama ke sekolah ini, saya memandu Perodua Kancil dari Kuala Betis untuk ke sekolah kerana menyangka jalannya elok disebabkan lumpur tidak tebal.

“Sebaik tiba di sekolah, kereta mula meragam dan tak boleh digunakan lagi. Beberapa bulan selepas itu saya ambil keputusan membeli pacuan empat roda Toyota Hilux sebagai ganti,” katanya.

Menurutnya, kenderaan itu bukan hanya untuk kegunaannya sendiri, bahkan menjadi kenderaan tidak rasmi pentadbiran sekolah terutama ketika berlaku kecemasan.

Menurutnya, dia juga menawarkan kenderaannya untuk kegunaan guru lain yang menunggang motosikal apabila mereka tersangkut dalam lumpur dan tidak boleh meneruskan perjalanan.

“Jalan masuk ke sekolah akan menjadi lebih buruk pada musim tengkujuh. Kenangan kembali ke sekolah ketika bencana banjir pada Disember 2014 paling sukar dilupakan.

“Hujan dan lumpur tebal usah dikira, manakala di pertengahan laluan pula ada jambatan runtuh menyebabkan jalan ke sekolah terputus. Kami terpaksa mengangkat motosikal dan menggunakan rakit dengan bantuan Orang Asli untuk menyeberangi sungai,” katanya yang memperuntukkan RM1,000 sebulan untuk kos minyak dan kecemasan jika kenderaan rosak.

Beliau juga menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan murid dan guru di sekolah itu selesa. Disebabkan itu, beliau sentiasa bersedia menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya mahu guru yang mengajar di sekolah ini bangga dengan diri sendiri kerana berupaya mendidik anak Orang Asli.

“Cabaran mengajar di sini juga tinggi kerana murid di sini tak sama seperti murid di sekolah lain yang bijak kerana dibantu guru tuisyen dan bahan mengajar lain.

“Tapi dengan kesung­guhan dan semangat guru, mereka kini sudah boleh membaca dan mengira, sekali gus membayar ‘kesusahan’ kami untuk sampai ke sekolah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:11 AM