KAKITANGAN Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi sering jatuh motosikal ketika melalui jalan licin dan berselut dari jalan Kuala Betis ke Pos Tohoi sejauh 20 kilometer kerana hujan musim tengkujuh. FOTO Ramli Ibrahim
KAKITANGAN Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi sering jatuh motosikal ketika melalui jalan licin dan berselut dari jalan Kuala Betis ke Pos Tohoi sejauh 20 kilometer kerana hujan musim tengkujuh. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TERJATUH daripada motosikal beberapa kali apabila terpaksa menempuh jalan licin dan berselut bukan perkara asing bagi lapan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang.

Bagaimanapun, demi tugas, mereka tetap tabah hadapi cabaran untuk murid Orang Asli yang akan memulakan sesi persekolahan pada Januari depan.

Guru Besar SK Tohoi, Mohd Hafizan Latif berkata, lapan kakitangan sekolah antaranya bertugas sebagai pengurus asrama, pembantu tadbir, pengurusan pra sekolah dan pembantu operasi.

Katanya, mereka perlu datang lebih awal ke sekolah untuk membuat persiapan sebelum sesi persekolahan bermula.

“Hujan lebat menyebabkan jalan untuk ke sekolah ini licin dan berlumpur. Mereka yang terpaksa menunggang motosikal sejauh 20 kilometer ke sekolah dan terjatuh beberapa kali sebelum sampai ke sekolah.

“Biarpun berdepan cabaran, mereka tetap tabah demi murid Orang Asli yang akan memulakan sesi persekolahan Januari depan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pembantu Pengurusan Murid SK Tohoi, Muhammad Fikri Che Hassan, 33, pula berkata, dia sudah 11 tahun berkhidmat di sekolah berkenaan.

“Hari biasa perjalanan hanya mengambil masa sejam sahaja, namun apabila musim tengkujuh, kami mengambil masa lebih dua jam untuk sampai. Saya sendiri sudah empat kali terjatuh kerana jalan licin dan berselut.

“Bagaimanapun, pada saya itu adalah perkara biasa yang perlu dihadapi oleh kakitangan yang bertugas di kawasan pedalaman dan penempatan Orang Asli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 2:10 PM