MURID Orang Asli di SK Tohoi perlu dipujuk untuk ke sekolah. FOTO Ramli Ibrahim
MURID Orang Asli di SK Tohoi perlu dipujuk untuk ke sekolah. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


GURU Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, bukan hanya bertanggungjawab mengajar, tetapi terpaksa memujuk anak Orang Asli di rumah untuk ke sekolah.

Usaha itu dilakukan berikutan masih terdapat ramai anak Orang Asli dari tahun satu hingga enam di sekolah itu belum hadir walaupun sesi persekolahan sudah dibuka Rabu lalu.

Guru Besar SK Tohoi, Mohd Hafizan Latif berkata, beberapa guru akan ke rumah Orang Asli untuk memujuk mereka.

“Terdapat 300 murid di sekolah berkenaan, namun setakat ini 256 yang hadir termasuk pra sekolah seramai 25 murid.

“Justeru, beberapa guru diketuai saya sendiri turun ke kampung itu untuk memujuk mereka supaya hadir sekolah,” katanya

Katanya, walaupun jalan perhubungan ke kampung berkenaan licin kerana hujan, namun mereka terpaksa melakukannya bagi mengelak murid tercicir pelajaran.

“Sehari sebelum persekolahan dibuka minggu lalu, kita sudah ke beberapa rumah Orang Asli di pedalaman dan berjaya memujuk sebahagian anak mereka untuk ke sekolah.

“Memandangkan masih ada yang belum hadir, mungkin kita akan ke perkampungan mereka pada Jumaat dan Sabtu ini,” katanya.

Mohd Hafizan berkata, murid yang jauh dari sekolah turut diberi kemudahan tinggal di asrama dan dibenarkan pulang ke rumah seminggu sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 11:02 AM