ANGGOTA PPM menunjukkan syabu yang dirampas di perairan Batu-Batu Sabindo, Tawau.‎ FOTO Norasikin Daineh
ANGGOTA PPM menunjukkan syabu yang dirampas di perairan Batu-Batu Sabindo, Tawau.‎ FOTO Norasikin Daineh
Oleh Norasikin Daineh

Tawau: Lelaki berusia 50-an ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau selepas didapati memiliki kira-kira 200 gram syabu di perairan Batu-Batu Sabindi, dekat sini awal pagi semalam.‎

Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, tangkapan dilakukan pada 8.30 pagi ketika sepasukan anggotanya melakukan rondaan Ops Paradise di kawasan terbabit.

"Sebaik tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berada di atas bot ikan yang dipercayai rosak dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati lelaki terbabit memegang plastik merah yang mengandungi empat bungkusan plastik lut sinar dipercayai dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM26,000," katanya dalam sidang media di Pejabat PPM Tawau, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad lagi, suspek juga dipercayai dijadikan sebagai keldai dadah supaya syabu berkenaan dihantar ke negara jiran.

"Kes diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Tawau dan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 4:59 PM