MAFA tumpu lagu untuk tema drama dan filem.
MAFA tumpu lagu untuk tema drama dan filem.
Syanty Octavia Amry


Atas sambutan lagunya yang mula dikenali selepas dijadikan lagu tema drama, penyanyi Mafarikha Md Akhir , 24, atau Mafa mahu fokus menghasilkan lagu untuk tujuan itu.

Meskipun ‘trend’ itu turut menjadi ikutan penyanyi lain, Mafa mengganggap semua ini adalah rezeki yang harus direbut.

Mafa yang lahir daripada program realiti Bukan Sekadar Rupa di TV3 berkata, keadaan pasaran sekarang memerlukan banyak cara dilakukan untuk mempromosikan sesebuah lagu.

“Sudah rezeki saya lagu yang dihasilkan lebih dikenali apabila menjadi lagu tema drama.

“Tidak kisahlah bagaimana caranya, asalkan orang tahu dan kenal itu lagu nyanyian dan ciptaan saya.

“Saya anggap ini peluang untuk saya terus menghasilkan lagu yang sesuai dijadikan lagu tema drama. Saya yakin cara ini lebih cepat untuk orang tahu akan kehadiran sesebuah lagu itu,” katanya.

Antara lagu Mafa yang dijadikan tema drama dan filem ialah Pintu Hati (Fira Ayuni), Tolong (Cerita Cinta Kita) dan Pintu Hati (filem Manisnya Cinta Di Capadoccia).

Mafa berkata, untuk single kelimanya berjudul Jujur Saja Sayang, dia juga turut menyasarkan lagu berkenaan menjadi lagu tema andai diberi peluang.

Jujur Saja Sayang adalah lagu ciptaan sepenuh Mafa dan diputarkan di radio sejak November tahun lalu.

“Selepas melihat banyak lagu saya berjaya mendapat tempat di hati penerbit drama dan filem untuk dijadikan tema lagu cerita mereka, saya mula meletak sasaran untuk menjadikan lagu yang saya bakal cipta selepas ini menjadi lagu tema drama,” katanya.

Bakal menamatkan zaman bujang pada Julai ini, Mafa berkata, kerjaya nya­nyiannya akan berjalan seperti biasa biarpun bergelar isteri orang.

“Alhamdulillah bakal suami seorang yang terbuka dan memahami. Dia tidak menghalang minat saya terhadap nyanyian.

“Semuanya terpulang kepada saya sama ada ingin meneruskan atau berhenti menyanyi selepas ini.

“Sementara ini, saya ha­nya memberi fokus pada persembahan nyanyian kerana masih sibuk melakukan persiapan akhir perkahwinan.

“Saya tidak memaksa diri untuk bekerja keras kerana selepas berkahwin saya akan meneruskan aktiviti nya­nyian seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:19 PM