ANTARA barisan pemain Melaka Unietd pada musim 2021. FOTO NSTP
ANTARA barisan pemain Melaka Unietd pada musim 2021. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Isu tunggakan gaji babitkan Melaka United nampaknya kini memasuki episod baharu apabila tindakan undang-undang bakal dilakukan selepas ini.

Perkara itu dimaklumkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) di laman sosial di mana satu perbincangan atas talian diadakan bersama bekas pemain Melaka United.

Menurut PFAM, bekas pemain terbabit diterangkan mengenai proses undang-undang yang bakal dilalui bagi menuntut hak di mahkamah sivil.

Difahamkan, jalan terakhir itu diambil selepas segala proses awal di peringkat Jawatankuasa Status dan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) gagal untuk mendesak Melaka United membayar tunggakan itu.

"Satu pertemuan secara atas talian diadakan bersama wakil pemain Melaka United FC dengan PFAM yang diwakili Eksekutif Perundangan PFAM, Syafiq Jebat.

"Pemain diberikan penerangan lanjut mengenai proses undang undang bagi masalah pelanggaran kontrak yang berbangkit sebelum ini," kata PFAM.

Sebelum ini, Arena Metro pernah melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail sedia mengheret pengurusan pasukan Melaka United dan Sarawak United ke mahkamah membabitkan kes tunggakan gaji pemain.

Izham menjelaskan, tindakan memfailkan kes itu di mahkamah akan dilakukan selepas keputusan perbicaraan oleh NDRC selepas pada 6 April lalu.

Izham berkata, keputusan untuk membawa kes itu ke mahkamah dilakukan selepas kedua-dua pasukan terbabit dilihat masih gagal untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

Difahamkan, kes tunggakan gaji yang akan dibawa ke mahkamah nanti membabitkan lebih 20 pemain di bawah persatuan itu dengan tunggakan gaji Melaka United berjumlah lebih RM1 juta.

Untuk rekod, peluang untuk mendapatkan tunggakan gaji itu dilihat cerah seperti mana kejayaan pemain dan pegawai Kuantan FA serta Marcerra United menuntut hak mereka di mahkamah sebelum ini.

Perintah komital yang dikeluarkan mahkamah menyaksikan bekas pemilik Kuantan FA dan Marcerra United berisiko untuk dipenjarakan, dan akhirnya tunggakan berkenaan dilunaskan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 4:23 PM