SUMAREH (kiri) ketika beraksi bersama pasukan Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
SUMAREH (kiri) ketika beraksi bersama pasukan Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Tak pernah lagi dibuat orang. Mungkin penggantungan ini hanya untuk liga di bawah kelolaan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP)."

Demikian penjelasan peguam sukan terkenal tempatan, Zhafri Aminurashid, berkaitan hukuman penggantungan selama dua tahun yang diputuskan PBNP terhadap bekas pemainnya, Mohamadou Sumareh, kelmarin.

Jelas Zhafri, hukuman berkenaan nyata mengelirukan banyak pihak apabila keputusan itu sebenarnya tidak sah untuk digunakan dalam mana-mana saingan Liga Malaysia (Liga M) anjuran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana PBNP tiada kuasa menjatuhkan hukuman ke atas tonggak naturalisasi negara itu.

Sebaliknya penggantungan itu boleh diguna pakai dalam kejohanan domestik negeri Pahang sahaja.

"Pihak yang boleh gantung pemain dekat Malaysia hanya dua, sama ada Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) ataupun FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Dua badan itu saja yang boleh (gantung pemain dalam Liga M atau daripada mewakili skuad kebangsaan). Yang lain tak boleh, tiba-tiba ada satu persatuan nak buat. Kami pun tak tahu apa niat sebenar.

"Tapi kalau kita tengok pada kod tatatertib FAM, persatuan boleh beri hukuman, tapi ia hanya untuk liga domestik di negeri Pahang. Maknanya dia boleh guna (hukuman penggantungan) untuk pemain yang bermain di liga itu sahaja sebab dia penganjur.

"Kalau hukuman daripada FAM, ia perlu melalui sama ada Jawatankuasa Status ataupun Jawatankuasa Tatatertib FAM. Jadi memang dia (PBNP) tiada punca kuasa dan apa dibuat ini memang tak mengikut semangat kod tatatertib FAM," katanya, semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada terbabit sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan badan induk itu.

Sebanyak empat pertuduhan dikenakan terhadap pemain kelahiran Gambia itu termasuk melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran PBNP.

Pertuduhan lain menyaksikan Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain apabila merujuk perkara itu terus kepada Fifa (Dispute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber FAM (NDRC).

Pemain Harimau Malaya itu juga didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain apabila gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 Ogos-28 Ogos selain kesalahan gagal menghadirkan diri pada aksi Liga Super antara Pahang bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos lalu.

Jelas Zhafri, beberapa pertuduhan dikenakan ke atas Sumareh juga dilihat kurang tepat, misalnya berkenaan NDRC.

"Contohnya pertuduhan melanggar artikel 6.6 berkaitan Sumareh tidak membawa kesnya terlebih dahulu ke NDRC, persoalannya NDRC pun tak wujud lagi. Jadi, kalau PBNP kata dia bersalah macam tak kena, sebab NDRC pun tak ada lagi dekat FAM.

"Lepas itu prosedur dekat artikel 5, kelab boleh ambil tindakan, tetapi proses yang pertama ialah memberi amaran. Kedua potong gaji 10 peratus (%), ketiga potong gaji 20 % dan keempat potong gaji 30 %. Itu sahaja kesalahan tatatertib dia (PBNP) boleh buat keputusan berdasarkan kontrak," katanya.

Sebelum ini, Sumareh mencetuskan kontroversi apabila tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang selama sebulan pada Ogos lalu dan difahamkan tindakannya itu disebabkan kerana masalah pembayaran gaji dengan PBNP.

Malah, Sumareh didakwa membatalkan kontrak bersama Tok Gajah dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya sebelum berhijrah ke kelab Police Tero FC di Liga Thailand bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:50 AM