AZMAN  (kiri) Ketika Ulasan Tahunan Khazanah Ke-12 di Kuala Lumpur, semalam.
AZMAN (kiri) Ketika Ulasan Tahunan Khazanah Ke-12 di Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) mencatatkan peningkatan nilai portfolio aset boleh direalisasi (RAV) sebanyak 3.2 peratus kepada RM150.2 bilion pada 2015 berbanding RM145.5 bilion pada 2014.

Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar berkata, walaupun berdepan keadaan ekonomi yang mencabar dan tidak menentu, Khazanah Nasional berjaya mencatatkan prestasi kewangan menguntungkan pada tahun lalu.

“Kami juga berjaya merakamkan pelbagai pencapaian penting pada tahun lalu termasuk pentauliahan Program Transformasi GLC yang berlangsung selama 10 tahun, pelaksanaan projek pemangkin di Iskandar Malaysia serta meningkatkan pelaburan domestik,” katanya selepas Ulasan Tahunan Khazanah Ke-12, di sini, semalam.

Menurutnya, nilai bersih dilaraskan portfolio Khazanah Nasional berada pada kedudukan RM109 bilion pada 31 Disember 2015, menurun 1.6 peratus daripada RM110.7 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

“Walaupun tahun lalu disifatkan tahun mencabar, aliran meningkat portfolio keseluruhan Khazanah Nasional sejak Mei 2004 masih tidak terjejas.

“RAV meningkat RM99.3 bilion daripada RM50.9 bilion pada Mei 2004 kepada RM150.2 bilion pada 31 Disember 2015 manakala keuntungan sebelum cukai yang belum diaudit ialah sebanyak RM1.18 bilion berbanding keuntungan RM3.22 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya,” katanya.

Khazanah Nasional mengumumkan dividen sebanyak RM1.05 bilion bagi 2015 yang menjadikan dividen terkumpul sejak Mei 2004 berjumlah RM8.46 bilion. Pada tahun lalu, Khazanah Nasional melaksanakan 23 pelaburan berjumlah RM8.7 bilion dan pelupusan berjumlah RM5.3 bilion dengan keuntungan RM2.9 bilion.

Dari tahun 2004 hingga 2015, Khazanah Nasional melaksanakan 144 pelaburan bernilai RM74.7 bilion dan 77 pelupusan berjumlah RM48.1 bilion dengan keuntungan RM22.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 6:44 AM