Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak dan Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai status hartanah dilihat masih rendah, sekali gus menyukarkan urusan transaksi dilakukan tanpa bantuan mereka yang lebih arif.

Pengarah Bersekutu Hartamas Real Estate (Malaysia) Sdn Bhd, Christopher Chan berkata, masih ramai yang kurang memahami mengenai perkara itu sehingga timbul masalah apabila hartanah yang dimiliki ingin dipindah milik.

Katanya, apabila ia membabitkan undang-undang dan status tanah, orang ramai beranggapan perkara itu rumit dan mengambil langkah untuk tidak mengambil tahu.

“Sebenarnya, perkara ini (status hartanah) boleh diperiksa sendiri pemilik aset tanpa perlu bergantung kepada peguam atau ejen hartanah.

“Pengetahuan ini penting kerana terdapat banyak status hartanah termasuk pegangan bebas, pajakan, Bumiputera, bangunan, pertanian dan komersial. Malah, setiap negeri mempunyai undang-undang berbeza,” katanya dalam ceramah mengenai ‘Undang-undang dan status hartanah’ sempena Pameran Hartanah MyRumah NSTP di sini, semalam.

Menurutnya, jika hartanah terbabit mempunyai status Bumiputera, pemilik tidak boleh menjualnya kepada bukan Bumiputera kerana terdapat syarat ditetapkan dalam undang-undang itu sendiri.

Chan berkata, disebabkan itu penting untuk mengetahui status tanah sebelum atau sudah memiliki aset berkenaan berikutan terdapat juga halangan atau perkara ditetapkan pihak berkuasa tempatan menghalang pemilik menjualnya.

Beliau berkata, jika pemilik atau bakal pembeli mengetahui status hartanah terbabit, ia dapat menjimatkan masa pindah milik terutama daripada segi dokumentasi.

“Cara terbaik mengetahui status hartanah yang ingin dibeli adalah berhubung dengan pengurus hartanah di kawasan terbabit dan jika rumah kondominum atau pangsapuri, anda boleh tanya sama ada status strata sudah dikeluarkan kepada pemilik atau belum.

“Selain itu, untuk pembeli anda boleh bertanya pihak pengurusan berapa ramai daripada penduduk yang membayar yuran penyelenggaraan, jika di bawah 40 peratus, disarankan untuk tidak membeli hartanah terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:04 AM