Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Individu yang berhasrat mendapatkan kediaman di kawasan berstatus rizab Melayu seharusnya tidak teragak-agak berbuat demikian kerana hartanah di lokasi seumpama ini mempunyai potensi tersendiri.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) Salkukhairi Abd Sukor berkata, ramai dalam kalangan orang Melayu seolah-olah enggan membeli hartanah berstatus Rizab Melayu kerana beranggapan bahawa hartanah di kawasan ini terletak agak jauh dari bandar.

“Ada yang menganggap sebagai satu kerugian membeli hartanah di lokasi rizab Melayu kerana ia terletak di pedalaman selain nilainya lebih rendah dan tidak menguntungkan apabila bercadang mahu menjualnya kelak,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, tanggapan berkenaan adalah tidak tepat dan ia sekadar momokan daripada pihak tertentu yang cuba menjatuhkan nilai hartanah berkenaan.

“Tiada bukti kukuh yang menunjukkan sesuatu hartanah berstatus rizab Melayu mempunyai susut nilai yang tinggi. Nilaian yang rendah bukan disebabkan status hartanah berkenaan semata-mata sebaliknya, terdapat faktor lain yang mempengaruhi nilai semasa.

“Sebagai contoh, perancangan pembangunan yang kurang baik atau kekerapan berlakunya bencana alam seperti banjir menjadi faktor utama nilai semasa hartanah berkenaan sedikit terjejas,” katanya.

Salkukhairi berkata, terdapat kawasan rizab Melayu yang terbukti membangun dengan pesat malah, mencatatkan nilai hartanah yang tinggi mengikut harga semasa.

“Pembangunan di Bandar Baru Bangi adalah contoh terbaik kawasan rizab Melayu yang mempunyai nilai semasa yang tinggi, malah terus mencatatkan peningkatan saban tahun.

“Tapak tanah pembangunan East Coast Mall di Kuantan juga dibangunkan atas tanah berstatus rizab Melayu yang mana kini menjadi kawasan komersial yang membangun dan menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, jangan melihat lokasi sesuatu hartanah yang terletak di pedalaman sebagai penentu nilai hartanah kerana ia tidak mencerminkan keadaan sebenar tanah berkenaan.

Sementara itu, Penulis Kewangan dan Pelabur Hartanah, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, pembelian hartanah di kawasan rizab Melayu tidak mendatangkan masalah kepada individu yang berhasrat menjadikannya sebagai aset jangka panjang namun, ia mungkin mempengaruhi pembelian bagi mereka yang mahu menjadikannya sebagai pelaburan.

Beliau berkata, dalam pelaburan hartanah, pelabur tegar menjadikan status rizab sebagai indikasi pelaburan, namun pembeli harus faham perbezaan antara rizab Melayu dan lot Bumiputera.

“Rizab Melayu tidak boleh dipindah milik kepada pemilik bukan Bumiputera dan urusan jual beli mungkin agak sukar dilakukan.

“Bagi lot Bumiputera, ia adalah peruntukan khusus Bumiputera ke atas lot perumahan yang dibangunkan oleh pemaju dan boleh dipindah milik kepada bukan Bumiputera selepas jualan pertama dengan setiap negeri memiliki jumlah kuota Bumiputera yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, bagi pelabur yang memiliki matlamat untuk menjual kembali hartanah berkenaan, status rizab Melayu akan mempengaruhi keputusan pembelian.

“Bagi pelabur, mereka mungkin tidak akan membeli hartanah dengan status Rizab Melayu memandangkan kuasa membeli orang Melayu masih rendah berbanding bukan Melayu.

“Pelabur mementingkan potensi jualan dan mereka yang mempunyai kuasa membeli lebih berminat dengan hartanah berstatus terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 5:21 AM