PEMBELIAN hartanah perlu mengambil pelbagai risiko.
PEMBELIAN hartanah perlu mengambil pelbagai risiko.
Syarifah Dayana Syed Bakri


Kuala Lumpur: Memiliki hartanah seharusnya menjadi perkara yang menggembirakan kerana ia menandakan kita mempunyai keupayaan menambah aset yang boleh dijadikan harta untuk ahli keluarga memandangkan nilainya terus meningkat saban tahun.

Namun, dalam keghairahan mendapatkan hartanah sama ada dalam bentuk rumah atau unit komersial, perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk memastikan hartanah berkenaan tidak termasuk dalam senarai yang berisiko dari aspek perundangan.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, tidak semua hartanah ‘bebas’ dibeli dan proses mendapatkannya mudah kerana terdapat juga hartanah yang mempunyai risiko.

“Sebelum membuat sebarang proses mendapatkan hartanah, pembeli perlu menilai risiko hartanah berkenaan khususnya dari aspek perundangan bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini, semalam.

Antara hartanah berisiko daripada segi undang-undang adalah hartanah yang dibeli daripada pemaju yang tidak mempunyai lesen pemajuan perumahan yang sah, tanah lot yang belum ada geran individu berasingan, rumah strata yang belum ada hakmilik strata sedangkan pemajunya digulungkan operasi, membeli hartanah di bawah skim yang pelik dan membeli hartanah secara sambung bayar pinjaman bank pemilik tanpa membuat pindah milik kepada pembeli.

“Tindakan pencegahan lebih baik daripada mengatasinya. Ia bermaksud pembeli perlu menilai risiko hartanah berkenaan sebelum membuat keputusan pembelian kerana sekiranya sudah terjebak dalam masalah, agak sukar untuk berpatah balik,” katanya.

Menurutnya, walaupun pembeli boleh membuat laporan polis atau mengambil tindakan perundangan di mahkamah, belum ada jaminan yang mereka akan mendapat kembali hak mereka atau mendapat ganti rugi yang sewajarnya.

“Ini kerana sekiranya transaksi berkenaan sememangnya sejak dari awal lagi sudah tidak mengikut undang-undang, pihak mahkamah tidak dapat melindungi mereka,” katanya.

Salkukhairi berkata, bagi mengelakkan pembeli terjebak dalam membeli hartanah daripada pemaju yang tidak mempunyai lesen pemajuan perumahan yang sah, mereka boleh membuat semakan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan maklumat pemaju.

Sementara itu, membeli hartanah dalam kalangan ahli keluarga mungkin lebih mudah diuruskan, namun sekiranya ia tidak mengikut prosedur yang dinyatakan dalam undang-undang, ia mungkin mengundang lebih banyak masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 8:47 AM