Baling: Enam penduduk Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai, dekat sini, tersesat di puncak Gunung Padang Cik Mas sejak tengah hari semalam.

Kesemua tujuh orang itu dikatakan memanjat gunung berdekatan kampung mereka itu bagi mencari pokok Paku Aji untuk dijual.

Difahamkan, mereka mula mendaki gunung itu sejak awal pagi dan dipercayai tersesat di atas puncak gunung apabila mereka gagal mencari jalan turun dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Baling, Mohd Sufian Alias yang mengetuai operasi berkata usaha menyelamat mereka dimulakan 4 petang selepas pihaknya dimaklumkan penduduk kampung.

“Tujuh anggota bomba terbabit. Selain itu, turut terbabit dalam operasi menyelamat ini adalah polis, Jabatan Pertahanan Awam, RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan penduduk kampung,” katanya, di sini.

Seorang daripada penduduk sesat dikenali sebagai Zainol Taib, 46, patah kaki selepas terjatuh di celah batu ketika mereka berusaha mencari jalan turun.

Anak mangsa, Farid Zainol, 21, yang turut sama memanjat gunung bersama bapanya dan penduduk kampung itu yang berusia antara 30-an hingga 40-an, berjaya turun dengan mencari jalan sendiri bagi mendapatkan bantuan penduduk kampung.

Seorang penduduk kampung yang terbabit dengan operasi menyelamat itu, Mohd Daud Hassan, 40 berkata untuk sampai ke puncak gunung itu memakan masa lebih tiga jam.

Bagaimanapun, pasukan mencari dan menyelamat kemudiannya membawa turun Zainol, pada 10.15 malam tadi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 1:55 AM