DURAKOVIC (tengah) berjaya bawa Selangor juarai Piala Malaysia.
DURAKOVIC (tengah) berjaya bawa Selangor juarai Piala Malaysia.
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyingkirkan Mehmet Durakovic daripada jawatannya selaku ketua jurulatih nyata mengecewakan penyokong setia Red Giants.

Naib Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) Norazman Abbas berkata, walaupun tindakan FAS itu sebenarnya sudah dijangka dari awal, namun pihaknya masih mengharapkan Durakovic mampu dikekalkan setidak-tidaknya semusim lagi.

Malah, Norazman turut mempersoalkan kesanggupan persatuan itu menebus kontrak Durakovic hampir RM900,000 semata-mata mahu mendapatkan khidmat Zainal yang belum tentu menjamin kecemerlangan pasukan untuk saingan musim depan.

“Secara peribadi, saya memang kecewa dengan keputusan itu. Malah, saya yakin penyokong lain juga begitu dan pasti merasai kehilangan beliau (Durakovic) yang sudah banyak berjasa kepada Selangor terutama dalam menamatkan Misi 33.

“Sebenarnya kami tahu apa yang berlaku dalam pasukan cuma kami mengharapkan akan adanya perbincangan semula mengenai kedudukan Durakovic.

“Mengapa mereka (FAS) mahu melantik Durakovic selaku Pengarah Teknikal sedangkan kontraknya masih ada hingga penghujung 2016. Apa salahnya kalau Zainal dilantik Pengarah Teknikal serta kekalkan Durakovic selaku jurulatih dan kita lihat pencapaiannya musim depan.

“Jika tidak berjaya, Zainal boleh gantikan tempat beliau dan ketika itu tempoh kontrak juga sudah tamat berbanding perlu membayar pampasan kontrak yang tinggi.

“Saya rasa duit pampasan kontrak beliau yang hampir RM1 juta itu sepatutnya kita boleh salurkan untuk perkara lain yang boleh digunakan pasukan. Lagipun persatuan bukannya ada dana banyak dan saya berpendapat ia suatu pembaziran,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelasnya Zainal bakal memikul tugas berat terutama untuk memastikan skuad Merah Kuning itu mengekalkan Piala Malaysia atau paling tidak menghadiahkan satu piala musim depan.

“Sebagai penyokong yang sayangkan Selangor, saya harap Zainal akan meneruskan tugas cemerlang Durakovic yang berjaya mengubah suasana pasukan biarpun tidak dianggotai nama besar.

“Bagaimanapun, kami tetap akan menyokong pasukan dan juga Zainal selaku pengendali sambil mengharap lebih banyak kejayaan bakal dilakar di bawah bimbingannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:51 AM