AHLI Kidzania Congrezz teruja mempelajari seni kraf tangan Orang Asli daripada kanak-kanak di kampung itu.
AHLI Kidzania Congrezz teruja mempelajari seni kraf tangan Orang Asli daripada kanak-kanak di kampung itu.
AHLI Kidzania Congrezz teruja mempelajari seni kraf tangan Orang Asli daripada kanak-kanak di kampung itu.
AHLI Kidzania Congrezz teruja mempelajari seni kraf tangan Orang Asli daripada kanak-kanak di kampung itu.
ANTARA persembahan menarik ahli Kidzania Congrezz yang dipertontonkan di depan kanak-kanak Orang Asli Kampung Bukit Kepong.
ANTARA persembahan menarik ahli Kidzania Congrezz yang dipertontonkan di depan kanak-kanak Orang Asli Kampung Bukit Kepong.
Nor Faizah Mohamed

Ilmu tidak mengenal usia. Mencari ilmu juga tidak terhad kepada sesuatu kaum, masyarakat malah agama. Namun setinggi mana pun ilmu yang diperoleh, sifat merendah diri dan amalan nilai hidup yang baik perlu seiring agar ilmu itu lebih bermanfaat.

Pada masa sama, ilmu juga perlulah dikongsi agar faedahnya dapat dinikmati bersama. Berkongsi ilmu tidak bermakna berkurangnya pengetahuan yang ada malah ia dapat mencambah idea dan pengalaman baru pada diri.

Perkongsian ilmu inilah yang diterapkan dalam kalangan ahli Kidzania Congrezz yang dipilih setiap tahun. Menerusi temanya, ‘Learn Life Today’, ahli Congrezz ini dipupuk dengan semangat setia kawan dan saling menghormati meskipun berbeza pendapat, latar belakang, pendidikan dan sebagainya.

Saban tahun ahli Congrezz yang dipilih perlu melakukan satu projek kebajikan membabitkan masyarakat. Untuk tahun ini, kanak-kanak daripada komuniti Orang Asli di Kampung Bukit Kepong, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi pilihan bagi program perkongsian ilmu terbabit.

Kidzania Congrezz terdiri daripada sekumpulan 20 kanak-kanak berusia antara enam ke 12 tahun yang dipilih untuk membantu mengawal selia KidZania Kuala Lumpur dan menyampaikan pandangan mereka menerusi proses membuat keputusan sama seperti dalam kongres atau sesi mesyuarat golongan dewasa.

Mereka akan berkumpul setiap tiga bulan untuk membincangkan topik yang dilihat berupaya memberi manfaat kepada ahli membabitkan pelbagai skop antaranya media, hiburan, pendidikan dan kesusasteraan, selain merancang acara atau projek inisiatif bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik.

Menariknya, semua perkara ditentukan oleh ahli sendiri dan kakitangan KidZania sekadar membantu dari segi nasihat dan logistik jika diperlukan.

Menurut Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur Shahrul Nizar Ahmad, memberi sepenuh kuasa kepada kanak-kanak ini untuk merancang dan mengendalikan projek kebajikan yang mereka inginkan adalah antara usaha pihaknya memperkasakan lagi si kecil dengan kemahiran serta pengalaman kehidupan sebenar.

“Kami biarkan mereka lakukan segala-galanya. Kami hanya membantu pada beberapa bahagian dan apabila diperlukan. Selebihnya diserahkan kepada ahli Congrezz agar mereka dapat belajar bagaimana menangani masalah atau krisis dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Cara ini juga dapat membantu membentuk keperibadian dan pembangunan diri kanak-kanak terbabit secara holistik. Setiap tahun ahli Congrezz perlu merancang projek kebajikan masyarakat dan di situlah kita dapat melihat betapa inovatif dan kreatifnya kanak-kanak ini.

“Ini secara tidak langsung membantu mengasah skil komunikasi mereka yang sama sekali jarang diperoleh daripada pendidikan konvensional,” katanya.

Kenal ramai kawan baru

Edisi 2014 memperlihatkan barisan ahli Congrezz buat pertama kalinya terbabit dalam aktiviti amal dengan menjadi hos dan melawat kanak-kanak kurang bernasib baik di dua rumah kebajikan sekitar Lembah Klang.

Edisi 2015 pula terarah kepada projek Konsert Mini Amal yang menyaksikan kanak-kanak ini saling bekerjasama menguruskan acara besar.

Lawatan dan majlis perkongsian ilmu pula menjadi pilihan tahun ini, apabila ahli Congrezz terbabit berpeluang berkongsi cerita serta pengalaman masing-masing.

Bagi Ng Zhang En, 12, kunjungan ke perkampungan Orang Asli itu membuatkannya berusaha memperbaiki skil komunikasi terutama dalam bahasa Melayu.

“Saya tidak begitu bimbang dengan perkara lain seperti perbezaan latar belakang, sekolah dan sebagainya. Cuma saya sedikit bimbang kerana tidak fasih berbahasa Melayu.

“Mujur mereka faham dengan apa yang saya katakan dan dari situ saya berazam perbaiki lagi pertuturan dalam bahasa Melayu,” katanya yang pernah beberapa kali mengunjungi perkampungan Orang Asli bersama keluarganya.

Vinesh Selvendran, 10, pula lebih teruja berkenalan dengan rakan baru yang sama sekali berbeza dengan latar belakangnya.

“Saya seronok mende­ngar cerita mereka. Mereka masih malu tapi tidak sombong apabila ditanya. Disebabkan saya dari bandar dan lebih agresif, biasanya saya yang mulakan dulu perbualan. Saya cuba mendekati mereka dengan bertanya perkara membabitkan sekolah, permainan dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, ahli Congrezz tahun lalu juga terbabit membantu dengan menjalankan usaha me­ngumpul derma terdiri daripada permainan, pakaian, pensel warna dan buku yang diserahkan kepada kanak-kanak Orang Asli di kampung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 10:14 AM