SEBANYAK 10,000 tiket percuma kepada petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan KidZania
SEBANYAK 10,000 tiket percuma kepada petugas barisan hadapan. FOTO Ihsan KidZania
Muhamaad Razis Ismail

PETUGAS barisan hadapan terdiri daripada doktor, jururawat, pekerja hospital, polis, tentera dan pekerja perkhidmatan makanan dan penghantaran antara wira negara dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Mereka berada di barisan paling hadapan dengan mempertaruhkan nyawa untuk memastikan rakyat di negara ini selamat daripada pandemik ini.

Bukan itu sahaja mengorbankan masa dan tenaga termasuk mengetepikan keluarga tercinta demi tugas yang diamanahkan.

Oleh itu, bagi menghargai kegigihan petugas barisan hadapan ini, KidZania Kuala Lumpur menyediakan 10,000 tiket percuma kepada mereka untuk masuk ke taman tema itu mengikut konsep siapa cepat dia dapat.

Mereka juga diberi pilihan untuk membeli tiket tambahan bagi orang dewasa dan kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun (maksimum empat tiket) dengan potongan harga 40 peratus. Tiket percuma ini sah bermula 21 Julai hingga 30 Oktober ini.

Mereka akan mendapat pengesahan tempahan dalam tempoh lima hari waktu bekerja dan boleh mengambil tiket di kaunter 'lapangan terbang' KidZania Kuala Lumpur selepas mengesahkan ID kakitangan.

Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur, Shahrul Nizar Ahmad berkata, pihaknya menghargai usaha dan pengorbanan petugas barisan hadapan dalam melindungi masyarakat di negara ini berdepan pandemik Covid-19.

KANAK-kanak didedahkan dengan dunia perubatan. FOTO Ihsan KidZania
KANAK-kanak didedahkan dengan dunia perubatan. FOTO Ihsan KidZania

"Sumbangan mereka tidak ternilai harganya dan KidZania Kuala Lumpur dengan rendah hati membuka pintu seluas-luasnya kepada petugas barisan hadapan ke sini.

"Oleh itu, kami menyediakan satu tiket percuma kepada mereka dan potongan harga istimewa untuk maksimum empat tiket tambahan bagi meluangkan masa bersama keluarga di sini," katanya.

Menurutnya, sempena pembukaan semula KidZania Kuala Lumpur sejak 18 Julai lalu, pihaknya membuat tawaran menarik sehingga 17 Ogos depan dengan menawarkan tiga tiket (satu dewasa, dua kanak-kanak) pada harga RM99 sahaja yang sah sehingga lima bulan.

Tambahnya, untuk memastikan keselamatan pengunjung, pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) secara ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan membabitkan pekerja dan pengunjung.

"Kami mengambil masa lama untuk kembali beroperasi kerana mahu mengumpulkan senarai SOP dan garis panduan yang sangat terperinci untuk pekerja dan pengunjung. Antara langkah yang diambil adalah proses sanitasi dilakukan secara terperinci di keseluruhan kawasan KidZania Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan dilakukan dengan ketat dan kami sentiasa memastikan penjarakan sosial dengan mengehadkan jumlah maksimum pengunjung di dalam premis mengikut waktu yang ditetapkan.

"Malah kami turut menyediakan cecair pembasmi kuman di kawasan strategik," katanya.

Mengulas lanjut, pada masa sama, KidZania Kuala Lumpur turut akan memasukkan dalam aktiviti main peranan dalam menjaga kebersihan sebagai langkah pencegahan jangkitan.

"Walaupun kami inginkan semua pengunjung bergembira di KidZania, kami juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka dapat melakukannya dalam lingkungan yang selamat dan aman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:30 AM