RUMAH pokok didiami Charlie. FOTO Agensi
RUMAH pokok didiami Charlie. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Akibat kesempitan wang, seorang lelaki dari wilayah Isaan, Udon Thani, Thailand, mengambil keputusan untuk 'mengasingkan diri' dengan tinggal di atas pokok.

Portal The Thaiger melaporkan, Charlie yang berusia 38 tahun membina rumah di atas pokok itu, sejak tiga tahun lalu.

Charlie mengikat kepingan kayu bersama tali untuk dijadikan lantai dan menggunakan kepingan plastik sebagai bumbung.

Kisah Charlie tular selepas seorang netizen berkongsi gambar rumahnya di Facebook (FB).

Media Thailand melawatnya di daerah Nampong Khon Kaen untuk mengetahui kisah lelaki itu dan Charlie memberitahu dia pernah bekerja di Bangkok serta mampu menyara diri juga keluarganya.

Berikutan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19, Charlie pulang ke kampung halaman di Khon Kaen, namun kemudian berpindah ke Udon Thani bagi mencari pekerjaan.

Dia memohon apa sahaja kerja yang ada tetapi gajinya tidak dapat menampung komitmen bulanan, jadi nekad membayar semua hutangnya dan kemudian tinggal di atas pokok.

Menurut Charlie, dia menjalani hidup sederhana dan jika ada orang mengupahnya, dia akan pergi bekerja tetapi ke kuil untuk mendapatkan makanan, sekiranya tiada kerja.

Kadang-kadang, orang dalam komuniti berkongsi makanan dengannya.

Sementara itu, Pegawai dari Pusat Perlindungan bagi Kemiskinan dan Pembangunan Sosial dan Kementerian Keselamatan Manusia melawat Charlie, pada Sabtu, dan menawarkannya tempat tinggal percuma untuk gelandangan di wilayah itu.

Tempat tinggal itu dilengkapi dengan makanan dan kemudahan serta selamat daripada 'rumah pokok', namun Charlie menolak tawaran berkenaan.

Dia juga berkeras untuk tinggal di 'rumah pokoknya' kerana selesa di situ dan hanya akan berpindah, jika pemilik tanah memintanya berbuat demikian.

Menurut Charlie, satu-satunya perkara yang dia mahukan adalah pekerjaan dan dia mahu hidup sendiri tanpa membebankan kerajaan atau orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 11:52 AM