AFP

Stoke-on-Trent, England: Louis van Gaal (gambar) berkata, beliau sendiri akan meletak jawatan sebelum dipaksa dibuat demikian selepas kedudukannya sebagai pengurus Manchester United menjadi semakin tergugat berikutan kekalahan keempat berturut-turut.

Jurulatih Belanda berusia 64 tahun itu kelihatan seperti lelaki malang sepanjang kekalahan United kepada Stoke City 0-2 di Stadium Britannia kelmarin.

Apabila diasak mengenai spekulasi hangat mengenai kemungkinan beliau akan dipecat dan digantikan oleh Jose Mourinho, Van Gaal mengakui beliau mungkin akan meninggalkan tugas yang tidak membawa sebarang tuah kepadanya sejak beberapa bulan lalu.

Biarpun enggan mengesahkan atau menafikan sama ada menerima sebarang sokongan daripada lembaga pengarah United, beliau menyatakan: “Saya sudah katakan dalam sidang media sebelum ini bahawa bukan kelab yang perlu memecat saya. Ada kalanya saya perlu lakukannya sendiri (meletak jawatan).

“Sayalah yang mahu bercakap terlebih dulu dengan lembaga pengarah Manchester United, dengan kakitangan, pemain dan tidak semestinya anda (media).”

Selain itu, Van Gaal yang dilantik pada Julai 2014 gagal memberikan jawapan meyakinkan apabila ditanya sama ada beliau masih mengendalikan perlawanan United berikutnya menentang Chelsea di Old Trafford awal pagi esok.

“Anda perlu tunggu dan lihat, saya fikir begitulah,” katanya.

“Saya dapat rasakan sokongan setiap orang di kelab ini.”

United tergelincir ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris selepas tiga kekalahan berturut-turut, siri kekalahan kedua di bawah Van Gaal selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara apabila tewas 2-3 kepada Wolfsburg awal bulan ini.

Berbanding sikapnya yang biasa riang, Van Gaal kelihatan murung apabila perlawanan yang perlu dimenangi bertukar menjadi mimpi ngeri.

Beliau menyalahkan pemain yang takut gagal dan menjelaskan United perlu mencari keberanian untuk menghalang pasukan daripada terus tergelincir.

“Kami tidak berani bermain bola sepak seperti biasa dan saya menganalisisinya kerana akibat daripada tekanan yang perlu anda tangani sebagai pasukan mahupun pemain individu,” katanya.

“Kami melepaskan gol bodoh pada awal perlawanan, tapi alasan utama kami tidak mampu menangani kesannya. Kami tidak bermain bola sepak dengan gaya sendiri.

“Pada separuh masa, saya katakan kepada pemain kami tidak rugi apa-apa dan anda boleh memperbaikinya pada separuh masa kedua, tapi ia belum mencukupi.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:05 AM