SEMUA jenazah mangsa lemas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Bahru, Yong Peng. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
SEMUA jenazah mangsa lemas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Bahru, Yong Peng. FOTO Hairul Anuar Abdul Rahim
Oleh Mohd Hanafis Abdul


BatuPahat: Keempat-empat jenazah mangsa lemas di Sungai Bekok, Yong Peng, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam di Kangkar Bahru, Yong Peng, jam 3.20 tadi.

Jenazah dikebumikan selepas disembahyangkan di Masjid Kangkar Bahru, di sini,sebelum dibawa ke tanah perkuburan berhampiran.

Kira-kira 100 penduduk kampung termasuk ahli keluarga serta saudara mara menghadiri upacara pengebumian itu.

Suasana pilu kemudian menyelubungi tanah perkuburan sebaik keempat-empat keranda dibawa keluar dari van jenazah disediakan.

Kesemua mangsa yang lemas adalah seorang wanita, Lana Ismail, 55, anak lelakinya, Mohd Aiman Arif Hairaddin, 10, serta dua cucunya, Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin Nas Izhar, 10 bulan.

Muhammad Iman Naqiudin dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin ditemui lemas sejurus kejadian manakala Mayat Mohd Aiman Arif ditemui pasukan bomba kira-kira dua meter dari lokasi kejadian, pada 8.40 malam semalam.

Mayat terakhir iaitu Lana ditemui terdampar di tebing di bawah jambatan sungai itu, 8.10 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 3:38 PM