RIDZUAN (kiri) ketika di Doha.
RIDZUAN (kiri) ketika di Doha.
Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: “Ridzuan sekarang dah macam artis, pergi ke mana-mana pun orang nak bergambar dengannya,” kata Adnan Mat Ail, jurulatih skuad olahraga paralimpik Malaysia sambil memerhati gelagat Ridzuan Mohd Puzi yang sedang berselfie dengan ‘peminat’nya sebaik selesai majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para ASEAN, baru-baru ini.

“Ada bagus dan tidak apabila atlet kurang upaya mula bertaraf selebriti. Ia menunjukkan masyarakat mula membuka mata dan mengiktiraf sumbangan mereka. Tapi, pada masa yang sama, saya bimbang perhatian luar biasa yang diterima akan menyebabkan atlet seperti Ridzuan leka dan hilang fokus, maklumlah mereka tidak pernah menerima layanan seperti ini,” sambung Adnan.

Ridzuan, 28, mula menjadi ‘bintang pujaan’ selepas dia memenangi pingat emas acara 100 meter kategori T36 di Kejohanan Olahraga Dunia IPC 2015 di Doha, Qatar, baru-baru ini. Ia adalah kejayaan terbesar anak muda dari Padang Besar Perlis ini selepas memenangi emas acara lompat jauh serta perak 100 dan 200m di Sukan Para Asian di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Ridzuan, ketika ditanya reaksinya dengan sambutan diterima berkata: “Saya berasa sangat dihargai. Dulu, tiada sesiapa memandang golongan kurang upaya seperti kami tapi sekarang orang mula membuka mata.”

Siapa yang harus menyalahkan Ridzuan jika dia berasa sedang berada di puncak dunia. Memang benarlah katanya, dulu orang selalu memandang rendah keupayaan insan seperti mereka, tapi dia dan rakan-rakannya membuktikan bahawa di sebalik ‘kekurangan’ , mereka dikurniakan ‘kelebihan’.

Ayah Ridzuan, Mohd Puzi Md Isa sendiri tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran di atas pencapaian anak kedua daripada tiga adik-beradik itu. Pada suatu ketika dulu, dia sendiri sering tidak menemui jawapan bagaimanakah masa depan anaknya yang disahkan doktor menghidap cerebral palsy sejak berusia setahun.

“Ketika baru berusia enam hari lagi, Ridzuan diserang sawan selepas mengalami demam kuning. Sejak itu dia sering mengalami kejang tangan dan muka. Akibatnya, sehingga umur 10 tahun baru dia mampu bercakap, itu pun hanya boleh sebut ayah dan emak.

“Selain daripada kejang, Ridzuan tidak mempunyai masalah lain. Dia membesar dengan sihat dan cergas seperti kanak-kanak sebayanya.

“Bila umurnya tujuh tahun, barulah kami tahu dia menghidap sakit saraf (cerebral palsy). Itu pun selepas kami mendapatkan pengesahan doktor untuk mendaftar masuk ke sekolah pendidikan khas di Bukit Damar Ria, Lancang, Pahang.

“Tapi apabila saya ditukarkan bertugas di kampung halaman saya di FELDA Rimba Mas, Padang Besar, Perlis, Ridzuan tidak meneruskan persekolahan dan hanya duduk di rumah.

“Sebagai ayah, memang saya risau apabila memikirkan masa depannya terutama jika saya dan isteri sudah tiada kelak. Siapalah yang mampu menjaganya. Saya bukan orang kaya yang boleh meninggalkan harta kepada anak-anak.

“Kalau sempurna seperti orang lain, mungkin dia boleh menguruskan dirinya sendiri. Tapi, dengan keadaan Ridzuan begitu, apa yang mampu dilakukannya.

“Tapi, itulah, perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Siapa sangka dalam kekurangan yang dimilikinya, Allah mengurniakan kelebihan yang tidak dimiliki semua orang. Saya sendiri tidak menduga Ridzuan ada bakat dalam sukan sehingga boleh berjaya seperti sekarang.

“Ia cuma dapat dikesan pada 2004 apabila Jabatan Belia dan Sukan Perlis mengadakan pemilihan untuk mencari bakat daripada kalangan orang kurang upaya. Ridzuan mengambil bahagian acara 100 meter dan memenanginya. Ternyata di situ rupanya rezeki Ridzuan,” cerita Puzi.

Bermula daripada situ bakat Ridzuan digilap Majlis Sukan Negara (MSN) yang memasukkannya ke dalam program khas sejak 2012 sehingga dia mampu membawa pulang pingat emas dari Kejohanan Dunia baru-baru ini. Sebelum itu, pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan 2014, dia memenangi pingat emas lompat jauh serta dua perak 100m dan 200m.

“Memang selayaknya Ridzuan berada pada tahap sekarang kerana dia berusaha keras sejak terpilih mewakili Perlis. Ramai tidak tahu, dia pernah mengayuh basikal sejauh 60km pergi balik dari Padang Besar ke Kangar untuk menjalani latihan.

“Itu menunjukkan betapa bersungguh-sungguh dan komitednya dia kepada bidang yang diceburi. Malah, saya diberitahu jurulatih, dia menunjukkan sikap yang sama sepanjang menyertai program khas MSN itu.”

Kini, Ridzuan menjadi sandaran utama negara untuk memenangi emas Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan terutama selepas ketiadaan seorang lagi jaguh pecut negara, Muhammad Azlan Mat Lazim yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Januari lalu.

Sebagai ayah, Puzi sangat berbangga dengan kejayaan Ridzuan dan berharap dia dapat memenuhi impian rakyat Malaysia untuk melihat kilauan emas dari Olimpik.

“Alhamdulillah, wang hadiah kemenangan yang diberi kerajaan kami simpan untuk dijadikan bekalan masa depannya,” ujar Puzi.

Ridzuan dan Abdul Latif Romli menerima habuan sebanyak RM80,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan susulan kejayaan membawa pulang pingat emas daripada Kejohanan Dunia di Doha, Qatar baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:05 AM