Oleh Amir Mamat

Melaka: Projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak bernilai kira-kira RM27 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pembinaan lebuh raya 1,663 kilometer itu seperti diumumkan Perdana Menteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2015, semalam, sedang dalam proses diperincian kaedah pelaksaan oleh beberapa pihak termasuk Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Katanya, projek berkenaan dijangka bermula pertengahan 2015.

“Bagaimanapun, projek itu boleh disiapkan lebih awal jika ia dilaksanakan dengan menggunakan kaedah kerjasama antara kerajaan dan swasta.

"Pihak kementerian sedang mempertimbangkan cadangan itu bagi menjimatkan masa pembangunannya," katanya kepada selepas istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-76 di Dewan Seri Negeri, di sini, hari ini.

Fadillah dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Najib pada pembentangan Bajet 2015, kelmarin mengumumkan kerajaan akan membina Lebuh Raya Pan Borneo membabitkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan Sabah (727km) dengan kos pembinaan RM27 bilion.

Fadillah berkata, pembinaan lebuh raya itu akan membabitkan empat lorong tanpa tol sebagai kemudahan jangka panjang untuk rakyat Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 6:26 PM