Hayati Ibrahim dan Amir Abd Hamid


DEWAN Rakyat, hari ini, diberitahu bahawa kira-kira 500 kakitangan di Sarawak dan 300 di Sabah yang bekerja dalam projek Lebuhraya Pan Borneo kini tiada pekerjaan.

Ia berlaku selepas pendekatan rakan pelaksana projek (PDP) ditamatkan pentadbiran terdahulu digantikan kaedah konvensional.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, apabila PDP dibatalkan iaitu membabitkan syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd dan Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd maka sebahagian daripada pekerja diberhentikan.

"Kira-kira 500 (pekerja) di Sarawak dan 300 di Sabah sudah pun diberhentikan kerja. Sebahagian mereka mungkin ada diambil (bekerja semula) tetapi kebanyakan mereka sekarang tiada pekerjaan.

"Sudah pasti ini akan memberikan impak yang besar sebab kita akan kehilangan kepakaran teknikal yang sudah pun dilantik.

"Apa pun yang penting kita memandang ke depan kedua-dua projek di Sarawak dan Sabah ini. Kita akan melihat bagaimana mempercepatkan apabila PDP ditamatkan, projek ini sepatutnya siap Jun 2021 di bahagian Sarawak dan di Sabah pula pada Disember 2021. Sekarang ini tempoh sudah pun dilanjutkan kepada 2023 untuk Sabah dan di Sarawak pada 2022," katanya.

Lebuhraya Pan Borneo. FOTO arkib NSTP
Lebuhraya Pan Borneo. FOTO arkib NSTP

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab berkenaan perancangan kerajaan bagi membantu kakitangan rakan pelaksana projek atau PDP dan perunding yang sudah kehilangan pekerjaan.

Fadillah berkata, kerajaan hari ini akan tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu untuk mengubah kaedah pelaksanaan pelan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

"Pada awalnya penamatan PDP dijangka memberikan penjimatan kepada kerajaan khususnya tiada keperluan pembayaran yuran PDP.

"Bagaimanapun perubahan model pelaksanaan tidak mengambil kira perkara berikut yang sedang ditangani oleh kerajaan.

"Antara lain kesan ke atas pentadbiran projek, perubahan kontrak, kebajikan kakitangan yang terbabit dan keperluan penambahbaikan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 11:27 AM