NAJIB hadir untuk perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri.
NAJIB hadir untuk perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan Datuk Seri Najib Razak tidak bercakap banyak dengan firma audit KPMG dalam satu mesyuarat di kediaman bekas perdana menteri itu pada 2013.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir berkata, strategi yang dirancang Jho Low pada mesyuarat itu ialah Najib mesti mengungkapkan bahawa beliau sudah diterangkan dan mengetahui segala pelaburan dan transaksi di 1MDB serta yakin dengan dokumen yang ada.

Saksi pendakwaan ke-12 itu yang membacakan pernyataan saksinya berkata, individu dalam buruan pihak berkuasa itu turut mengarahkan Najib menyatakan keyakinan beliau terhadap Bank BSI di Lugano Switzerland berdasarkan fakta yang diberikan.

Selain itu, strategi lain adalah mesyuarat berkenaan mesti dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, CEO, CFO (pengurusan 1MDB) bersama Najib dan Jho Low turut mengatur supaya hanya Datuk Johan Idris serta Ahmad Nasri Abdul Wahab yang perlu hadir bagi pihak KPMG.

Azmi berkata, mesyuarat itu diadakan kerana pihak KPMG hendak mendengar sendiri penjelasan berkenaan pelaburan Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands dan mendengar sendiri pengetahuan Najib mengenai pelaburan 1MDB di luar negara khususnya oleh Brazen Sky Limited.

Melalui keterangan sebelum ini oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Brazen Sky ditubuhkan oleh Jho Low di British Virgin Islands dan sekutunya untuk mengalihkan pelaburan 1MDB dalam PetroSaudi Oil Services Ltd (PSOSL).

Sementara itu, menurut Azmi, dalam mesyuarat itu wakil KPMG yang hadir adalah beliau, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusinya ketika itu, iaitu Mohd Hazem Abdul Rahman dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin serta Najib.

"Saya ke rumah Najib pada malam 15 Disember 2013 dan mendapati beliau sudah mempunyai emel Jho Low. Perkara yang digariskan Jho Low dalam emel sudah dibincangkan oleh Najib kepada Johan.

"Johan bertanyakan Najib mengenai pelaburan SPC dan Najib menjawab beliau mengetahui pelaburan Brazen di SPC… dalam mesyuarat itu Najib bertanya mengapa KPMG menimbulkan syak mengenai aset asas pelaburan sedangkan Bank BSI sudah menunjukkan penyata pelaburan dan Najib turut memberitahu firma berkenaan untuk menutup akaun 1MDB sebelum 31 Disember 2013.

"Dalam perkara ini saya dapati walaupun saya CFO 1MDB yang mana audit di bawah bidang kuasa saya, tetapi Jho Low mengatur segala dokumen dan nota percakapan kepada Najib untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan KPMG," katanya.

Azmi berkata, selepas mesyuarat itu, KPMG masih tidak menutup laporan kewangan 2013 kerana tidak berpuas hati dengan dokumen dan jawapan diberikan sebelum firma itu digantikan dengan Dellloitte tidak lama kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 1:42 PM