Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, membenarkan pasangan suami isteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) bernilai lebih RM1.2 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh selepas dipohon pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka.

Beliau membenarkan kedua-dua suspek berusia 54 dan 49 tahun yang juga pemilik sebuah syarikat direman bermula hari ini bagi membolehkan pihak SPRM melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu, suspek lelaki memakai baju lokap SPRM dan isterinya yang mengenakan baju blaus dibawa menaiki dua kenderaan dan tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh jam 9.52 pagi.

Difahamkan kedua-dua mereka ditahan kira-kira 5 petang semalam ketika hadir untuk membantu siasatan tuntutan palsu insentif Penjana Kerjaya antara 2020 hingga 2022 di Pejabat SPRM Melaka di Alai, di sini.

Penahanan mereka disyaki mempunyai kaitan dengan operasi Op Hire yang dilancarkan SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri seluruh negara.

SUAMI isteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana Penjana Kerjaya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SUAMI isteri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana Penjana Kerjaya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 1:11 PM